Halaman

02 September 2013

Pemasangan 30 CCTV tambahan tingkat keselamatan warga kota

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan menambah pemasangan 30 kamera litar tertutup (CCTV) bagi meningkatkan tahap keselamatan dan membantu pihak berkuasa mengekang kejadian jenayah di seluruh bandar raya ini.

Datuk Bandar, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata pertambahan CCTV itu menjadikan jumah keseluruhan 45 unit termasuk 15 unit yang sudah beroperasi sejak 2008.

“Daripada 30 CCTV yang sedang dalam pembinaan, 16 sudah diuji dan boleh beroperasi sepenuhnya.

“Manakala sebahagiannya lagi memerlukan pembaikian dan pengubahsuaian berikutan masalah teknikal,” katanya.


Dato’ Adzlan berkata, MBKT merancang melengkapi lebih banyak CCTV di seluruh bandar ini memandangkan pembangunan pesat perkedaian dan perumahan serta pertambahan penduduk yang ketara memerlukan lebih banyak kemudahan itu.

Katanya, penggunaan CCTV sedikit sebanyak membantu usaha pihak berkuasa menjaga keselamatan warga kota dari kejadian jenayah, selain memberi maklumat kepada polis jika berlaku kemalangan serta sebarang insiden tidak diingini di kawasan terbabit.

 “Bukan hanya tertumpu di pusat bandar Kuala Terengganu, kita juga akan memasang CCTV di kawasan pekan Gong Badak berikutan kawasan itu juga semakin maju di mana banyak kedai dan perumahan dibangunkan sejak kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kes kecurian harta benda awam seperti penutup longkang, lampu hiasan dan lanskap di kawasan tumpuan awam, pusat rekreasi dan taman permainan serta jalan utama berlaku setiap hari berdasarkan laporan dan pengawasan pihak berkuasa.

Selain bantuan CCTV, beliau juga menyeru warga kota supaya membantu MBKT mencegah kegiatan itu khususnya di kawasan terpencil dan jauh dari orang ramai, dengan melaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi mengekang perbuatan tidak bermoral itu dari terus menjadi-jadi.

Sehingga kini, CCTV dipasang di Jalan Engku Embong Fatimah, Jalan Banggol, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Tok Lam, Plaza Padang Negara, Batu Enam, Jalan Chabang 3, Masjid Tengku Tengah Zaharah, Pulau Duyong dan Pulau Redang.

Kawasan lain, di Hentian Bas MBKT, Jalan Sultan Ismail, Jalan Pejabat, Jalan Bandar (Kampung Cina), Taman Selera Tanjung, Taman Awam Batu Burok, Gong Badak serta Jalan Padang Hiliran.


No comments: