Halaman

14 September 2013

Pemilihan Ketua Umno Cawangan Kuala Tengah cipta rekod

Oleh: Aida Abd Rahman

Kampung Kuala Tengah di Marang merekod sejarah tersendiri dalam negara apabila mesyuarat pemilihan Ketua Umno Cawangan kampung itu memihak kepada orang kurang upaya (OKU), Encik Tahir Ismail.

Encik Tahir, 57 yang buta kedua-dua mata, menetap di Taman Rahmat mendapat 75 undi dengan majoriti tujuh undi untuk menyingkirkan seorang lagi calon yang diketengahkan  pada pemilihan yang berlangsung jam 9 pagi, semalam.

Setiausaha cawangan itu, Encik Ibarahim Osman, berkata cawangan yang mempunyai 285 ahli dengan 109 daripada mereka merupakan penghuni di Taman Rahmat, Pulau Kerengga sepakat memilih Tahir untuk menerajui pergerakan itu bagi penggal baru itu.

 “Kita menghormati keputusan 145 ahli Umno yang menghadiri mesyuarat pemilihan pucuk pimpinan cawangan pagi ini apabila menyokong Tahir sebagai ketua cawangan yang baru.

“Pemilihan beliau sekaligus mencipta rekod dan sejarah dalam negara apabila menjadi orang buta dan juga OKU pertama dilantik sebagai Ketua Umno Cawangan,"katanya kepada Teganukita, semalam.

Encik Ibarahim berkata, semua ahli jawatankuasa khususnya beliau sendiri akan membantu Encik Tahir bagi melancarkan setiap aktiviti dan menjayakan matlamat cawangan itu selaras dengan kehendak dan keperluan majoriti masyarakat di kawasan itu.

Katanya, kepimpinan baru Umno cawangan itu berhasrat untuk membantu masyarakat khususnya golongan muda meningkatkan taraf kehidupan dan ekonomi,selain memastikan penghuni di Taman Rahmat yang terdiri dari kalangan OKU dan miskin terus mendapat pembelaan kerajaan serta berupaya keluar dari kepompong kemiskinan.