Halaman

10 September 2013

Penduduk Daerah Besut dapat khidmat doktor pakar percuma


Muhamad Pehimi Yusof
Oleh: Mohammad Ishak 

Penduduk Daerah Besut berpeluang mendapat khidmat doktor pakar secara percuma yang akan memberi perkhidmatan dalam pelbagai kepakaran perubatan.

Perkhidmatan yang diberikan itu sempena Program Jalinan Komuniti Majlis Profesor Negara (MPN) yang akan berlangsung dua hari mulai 12 September ini di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, dekat Jertih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Muhamad Pehimi Yusof berkata, program berkenaan bertujuan mendekatkan komuniti setempat dengan jabatan dan agensi kerajaan selain memberi perkhidmatan secara langsung kepada pesakit.

Katanya, seramai 50 anggota skuad kesihatan dari UNISZA akan turun padang bersama komuniti dan menemui pesakit yang disenaraikan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, selain itu orang ramai juga dapat menyaksikan pameran oleh pelbagai jabatan termasuk Pejabat Pertanian, Pejabat Kesihatan, RISDA, AADK,

Jabatan Perikanan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Muhamad Pehimi berkata, pihak penganjur juga menyediakan program khas kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi dialog bersama ahli Majlis Profesor Malaysia.

Kemuncak program itu ialah jamuan Merdeka Raya yang akan disertai 1,600 jemputan mewalkili pelbagai pertubuhan sukarela sekitar daerah itu. Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut, akan merasmikan program berkenaan dan menyertai komunti dalam majlis jamuan berkenaan.