Halaman

23 September 2013

Pengalaman Seorang Bidan Kampung..Sambut beratus bayi.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Mak Teh khidmatnya masih diperlukan.
SEJAK pihak kerajaan mewajibkan setiap ibu yang bersalin perlu mendapat khidmat di hospital kerajaan atau swasta, nama bidang kampung seolah-olah pupus malah khidmat untuk menyambut bayi tidak digunakan lagi tetapi bagi sesetengah ibu, mereka masih mendapat khidmat bidan kampung untuk rawatan selepas bersalin seperti mengurut dan sebagainya.

Bagi bidan kampung, Minah Awang, 68, dari Felda Chalok Barat, Setiu, pengalamannya menyambut bayi yang disangkakan sudah meninggal dunia masih segar dalam ingatannya, malah bayi itu kini sudahpun dewasa dan mempunyai keluarga sendiri.

Mak Teh berkata, kejadian itu berlaku lebih 20 tahun lalu, di mana ketika itu dia aktif bekerja sebagai bidan kampung kerana dialah satu-satunya bidan kampung yang dikenali di kampungnya dan khidmatnya sentiasa diperlukan. Dia sempat menceritakan pengalamannya itu.

Mak Teh menceritakan pengalamannya.
“DAH mati agaknya budak ni, muka pucat dan tidak bernyawa langsung”, kata Mak Teh di dalam hatinya apabila melihat bayi yang baru dilahirkan dan disambut olehnya dalam keadaan tidak bergerak dan tidak bernafas namun dia “terdengar” satu suara menyatakan bayi itu belum lagi mati dan suara itu menyuruh Mak Teh memukul temuning bayi itu.

'Selepas itu Mak Teh dengan spontan memukul temuning bayi itu dan alangkah terkejutnya Mak Teh apabila tiba-tiba kaki bayi itu tersentak hingga menyentuh kepalanya. Semua mata memandang kepada Mak Teh kerana terkejut melihat kaki bayi itu tiba-tiba tersentak.

"Melihat bayi itu bergerak Mak Teh terus menghisap darah dan air yang terdapat di dalam mulut bayi itu untuk mengelakannya daripada lemas. Beberapa minit selepas itu, bayi itu mula menangis dan berada dalam keadaan selamat.

"Itulah antara pengalaman yang mencemaskan dialami oleh Mak Teh sepanjang menjadi bidan kampung dan ia masih segar dalam ingatan Mak Teh hingga kini.

“Mak Teh tidak menyangka bayi itu selamat kerana semua menyangka bayi itu sudah mati kerana biasanya, apabila keluar dari perut ibu, bayi akan menangis dan akan mengerak-gerakan kaki dan tangannya tetapi bayi ini memang pelik dan Mak Teh tidak pernah melihat keadaan seperti sepanjang Mak Teh menyambut bayi.” cerita ibu kepada enam anak itu," kata Mak Teh.

Ketika ditanya bagaimana dia boleh menjadi bidan, Mak Teh berkata, semua berlaku tanpa diduga kerana dia dengan tiba-tiba tergerak hati untuk menyambut bayi seorang jirannya yang melahirkan anak kira-kira 30 tahun lalu kerana ketika itu jiranya melahirkan anak sebelum sempat memanggil bidan kampung yang lain.

 “Masa itu, Mak Teh duduk berehat dalam rumah, tiba-tiba ada orang beritahu, jiran Mak Teh mahu melahirkan anak, Mak Teh tak tahu nak buat apa-apa kerana Mak Teh bukannya seorang bidan dan belum pernah menyambut bayi tetapi entah macamana tiba-tiba tergerak hati Mak Teh untuk ke rumah jiran Mak Teh itu.

“Mak Teh terus bingkas bangun dan dengan pantas Mak Teh berjalan ke rumah jiran dan seperti ada orang yang mengajar Mak The untuk menyambut bayi, semuanya Mak Teh lakukan dengan sempurna seolah-olah Mak Teh ini pernah menyambut bayi sebelum itu, sehinggalah bayi itu selamat dilahirkan,” cerita Mak Teh yang berasal dari Besut itu.

Mak Teh berkata, bermula dari situlah dia mula dikenali sebagai bidan sehinggalah sekarang. Walaupun tidak pernah belajar dari mana-mana bidan kampung yang lain, dia mampu menyambut bayi dengan baik malah sejak dari dahulu hinggalah kali terakhir dia manyambut bayi kira-kira tiga tahun lalu, belum ada bayi yang meninggal dunia.

“Mak Teh bersyukur kerana semua bayi yang Mak Teh sambut semuanya selamat walaupun ada beberapa bayi yang sukar untuk keluar dari perut ibunya seperti berbelit tali pusat dan tersekat bahu ketika mahu keluar namun semua itu berjaya dikeluarkan ,” katanya yang menyambut beratus bayi itu.

Mak Teh yang kini tidak lagi menyambut bayi sejak hampir lima tahun lalu kerana tidak dibenarkan oleh pihak kerajaan, tetapi membantu ibu-ibu yang bersalin dengan melakukan kerja mengurut dan member khidmat nasihat tentang perbidanan.

“Kali terakhir Mak Teh menyambut bayi ialah cucu kepada orang yang pertama Mak Teh bidan iaitu juga di rumah yang sama Mak Teh menyambut bayi lebih 30 tahun lalu. Sejak tidak menyambut bayi, Mak Teh sentiasa rasa tidak sedap badan malah untuk berjalan jauh-jauhpun Mak Teh tidak larat sekarang melainkan kalau ada yang datang ambil di rumah.," katanya.

Berdoa setiap kali menyambut bayi.
Walaupun Bidan kampung susah hampir pupus sekarang tetapi Mak Teh mengharapkan wanita-wanita mempelajari cara menyambut bayi kerana dalam keadaan tertentu, bidan kerajaan mungkin tidak sempat menyambut bayi sekiranya bayi itu lahir sebelum tempoh ataupun mudah melahirkannya tanpa sempat bidan tiba.

“Wanita-wanita sekarang perlu mengetahui sedikit sebanyak cara-cara menyambut bayi kerana kita tidak tahu bila bayi kita akan dilahirkan walapun kebanyakan wanita sekarang melahirkan bayi di hospital tetapi dalam keadaan tertentu ada yang tidak sempat ke hospital kerana melahirkan anak lebih awal,” katanya .



No comments: