Halaman

20 September 2013

Pentadbiran daerah Kuala Nerus berkonsepkan pembangunan moden dan hijau.

Oleh; Esah Abdullah

Konsep pembangunan moden dan hijau bagi pusat pentadbiran Kuala Nerus adalah berteraskan elemen air dan bandar dalam taman, kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.



Sehubungan itu katanya, beberapa komponen utama yang akan dibangunkan ialah jalan masuk daripada Jalan Kota Bharu/ Tepoh dan Jalan Gong Badak.


“Sebuah taman bandar yang merangkumi kawasan lapang, tasik dan terusan akan turut diwujudkan sebagai tarikan utama ke daerah itu,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Pelancaran Publisiti Draf Rancangan Kawasan Khas Pusat Pentadbiran daerah Kuala Nerus di Dewan Sivik Padang Nanas, Kuala Terengganu semalam.

Katanya, lain-lain komponen termasuklah masjid sebagai ‘focal point’, kawasan institusi utama kerajaan bagi menyokong peranannya sebagai pusat pentadbiran daerah serta kawasan kediaman yang pelbagai ketegori.

Kerajaan juga katanya, akan mewujudkan kawasan aktiviti perniagaan utama dan tidak ketinggalan kawasan pembangunan infrastruktur dan utility melalui kaedah ‘common utility tunnel’.

“Satu jawatankuasa khas telah pun ditubuhkan bagi merealisasikan penubuhan daerah baru di samping menyelaras dan memantau perancangan daerah baru Kuala Nerus,” katanya.

Katanya, pembangunan pusat pentadbiran ini akan dilaksanakan secara berfasa dan setakat ini sebanyak RM20 juta diperuntukan bagi fasa pertama melibatkan kerja-kerja asas tapak bagi bangunan kompleks pejabat daerah.

Tambahnya, Ia juga membabitkan penyediaan tapak bagi bangunan gunasama kerajaan negeri dan Persekutuan, sistem perparitan, kolam tangkungan serta jaringan jalan raya.

“Perancangan kawasan ini memerlukan peruntukan yang banyak terutama untuk menyelesaikan masalah air bertakung dan banjir kerana aras tanah yang rendah,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri sangat komited untuk membangunkan daerah itu di mana dengan kepesatan pusat bandar Kuala Terengganu sekarang, rakyat yang berada di sebelah utara Kuala Terengganu ini turut mendapat manfaat bersama.

“Kita jangka dalam tempoh lima tahun kerja-kerja membangunkan kawasan ini dapat dilaksanakan termasuk membina bangunan utama yang akan menjadi nadi kepada pusat pentadbiran daerah baru itu nanti,” katanya

No comments: