Halaman

05 September 2013

Penuntut di IPT elak jadi pemusnah kepada bangsa sendiri

Oleh; Esah Abdullah

Penuntut di Instituti Pengajian Tinggi (IPT) negara diminta menjadi penyebar maklumat kerajaan kepada masyarakat dan bukannya bertindak sebagai pemusnah kepada negara dan bangsa sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit, YB Haji Bazlan Abdul Rahman berkata, mahasiswa perlu merebut peluang menimba ilmu sepanjang berada di IPT sebagai persiapan diri menghadapi dunia pekerjaan apabila tamat belajar.


“Semasa di IPT beri tumpuan terhadap pelajaran dan jangan sekali-kali melibatkan diri dalam agenda lain yang boleh memberi kesan buruk kepada perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya ketika merasmikan Program Mahabbah In Terengganu 2013 (MIT ’13) di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu.

 
Hadir sama, Penghulu Mukim Bukit Cempaka /Maras, Encik Khairul Anuar Hashim; Pengarah MIT ’13 Muhammad Hafiz Jailani dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan, Haji Chek Harun Ismail.

 Katanya, peserta MIT tidak harus mensia-siakan peluang bersama penduduk kampung untuk menyelami kehidupan masyarakat serta memahami adat resam yang mungkin tidak terdapat di daerah lain.

“Sebagai orang yang terpelajar, penuntut perlu tahu menilai yang mana kaca dan mana permata serta sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang banyak berjasa kepada bangsa dan negara,” katanya.

Program enam hari yang berakhir Sabtu ini (7 September) disertai 64 orang ( 37 wanita dan 27 lelaki) penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor itu tinggal bersama keluarga angkat masing-masing.

Pelbagai program diatur sepanjang berkampung di kampung berkenaan termasuklah lawatan ke rumah warga emas, sukaneka,  mendaki, motivasi, ruang bicara bersama pemimpin, pengurusan jenazah, kenduri sekampung dan malam kebudayaan.

 

No comments: