Halaman

11 September 2013

Penyertaan peserta Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2013 menggalakkan

Oleh: Noraini Jusoh

Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2013 yang dijadualkan berlangsung pada 28 September ini menawarkan hadiah lumayan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM329,700 bagi 18 kategori yang dipertandingkan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat (gambar) berkata, pertandingan bertaraf antarabangsa yang dianjurkan kerajaan negeri itu mendapat sambutan yang menggalakkan apabila berjaya menarik 8011 peserta sehingga tarikh akhir pendaftaran pada 28 Ogos lalu.

“Daripada jumlah tersebut 7869 adalah peserta dari seluruh Malaysia dan 142 daripada luar negara termasuk Thailand, Perancis, Kenya dan beberapa negara lain lagi.

“Berbeza tahun lepas dimana penyertaan keseluruhan dalam lingkungan 5000 orang, sambutan daripada peserta tempatan dan luar negara kali ini sungguh menggalakkan di mana lebih 1000 orang yang tidak sempat mendaftar merayu untuk menyertai larian ini tetapi terpaksa ditolak atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2013 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, hadiah utama bagi kategori antarabangsa sangat lumayan iaitu terbuka lelaki (RM24,000) dan terbuka wanita (RM16,000) sementara terbuka Malaysia lelaki/wanita sebanyak RM8000.

YB Rozi berkata, larian terbahagi kepada beberapa kategori iaitu kanak-kanak, pelajar sekolah, dewasa, Orang Kurang Upaya (OKU) dan terbuka antarabangsa.

“Jarak untuk peserta antarabangsa lelaki dan wanita berbentuk marathon penuh iaitu 42 kilometer (km), kategori OKU (kerusi roda terbuka dan kerusi roda hospital), 5 km dan kategori larian berkeluarga (3 km).

“Bagi terbuka Malaysia lelaki/wanita dan lelaki veteran perlu melalui jarak 21 km dan lain-lain sepanjang 10 km iaitu terbuka wanita veteran, tertutup lelaki/wanita, tertutup junior lelaki, tertutup senior veteran lelaki dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lelaki dan IPT wanita,” jelasnya.