Halaman

23 September 2013

Percepatkan pembinaan Hotel dan Resort di Kenyir..Mohd Jidin

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Pemandangan indah Tasik Kenyir.
KENYIR: Ketengah diminta mempercepatkan pembinaan chalet, resort dan hotel di beberapa kawasan di Kenyir bagi menampung kedatangan pelancong yang semakin bertambah ke tasik yang terbesar di Asia Tenggara itu menjelang tahun depan.

Exco Pelancongan,Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata pihak kerajaan negeri sedar bahawa keperluan resort dan beberapa penginapan lain termasuklah hotel perlu diperbanyakan untuk keselesaan pelancong.

“Saya sedar semakin meningkat program yang diadakan di kawasan gawi ini, keperluan akan lebih tinggi, kita harap pihak Ketengah (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah) dengan cadangannya yang sudah pun dibuat, kita haraplah pembinaan chalet dan beberapa penginapan lain akan dipercepatkan,” katanya.

Mohd Jidin berkata, semua yang di dalam perancangan sedang dan sudah dilaksanakan dan beliau mengharapkan pada tahun depan sebahagian tempat-tempat menginapan itu dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Dalam pada itu, katanya, jumlah pengunjung ke Tasik Kenyir sudah hampir mencapai sasaran 500 ribu pelancong iaitu seramai 400 ribu pelancong sudah berkunjung ke Tasik Kenyir sehingga kini.

“Insya Allah, sasaran jumlah kedatangan pelancong ke Kenyir ini akan dapat dicapai dalam masa tiga bulan lagi menjelang akhir tahun ini. Sambutan pada beberapa program yang kita anjurkan diadakan adalah diluar dugaan,” katanya.

Mohd Jidin juga berkata, jumlah kedatangan pelancong ke seluruh negeri Terengganu sudah hampir mencecah empat juta pelancong sehingga kini dan sasaran itu akan dapat dicapai dalam tempoh tiga bulan lagi kerana masih terdapat tiga lagi acara dalam kelendar melawat Terengganu.

No comments: