Halaman

12 September 2013

Peruntukan RM8j bangunkan pusat penyelidikan Tasik Kenyir

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Antara beberapa pulau di dalam Tasik Kenyir.
Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM8 juta untuk membangunkan pusat penyelidikan Tasik Kenyir yang bertindak sebagai pusat pengumpulan data saintifik mengenai ekosistem akuatik dan kawasan persekitaran tasik seluas 38,000 hektar itu.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menggerakkan projek itu bagi memastikan kepelbagaian sumber alam dan ekosistem tidak ternilai di tasik berkenaan diuruskan secara mampan supaya memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.

Ahli Lembaga Pengarah UMT, Professor Emeritus Dato’ Dr Abdul Latiff Mohamad, berkata pusat penyelidikan yang akan menempatkan kemudahan prasarana, makmal, asrama dan peralatan penyelidikan dilaksanakan tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti, UMT, minggu lalu.

“Kita mendapati pelan perancangan Kerajaan Terengganu dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sangat mantap dalam usaha membangunkan pulau itu. Jadi, peranan kita di pusat penyelidikan Tasik Kenyir nanti membantu memantapkan usaha itu dengan melibatkan semua `stakeholders’ seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Perhilitan dan Mardi.


 “Sebagaimana kita tahu, dua tasik terbesar di negara kita, selain Temenggong adalah Kenyir yang memiliki kelebihan untuk diekplorasi dan memberi manfaat secara berterusan menerusi penyelidikan yang  diketuai Prof. Emeritus Dr Faizah Sharom ,” katanya ketika kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ekspedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu Terengganu 2013, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan majlis itu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) (Dasar dan perancangan), Dato’ Masran Salleh dan Pengarah JPNT, Tuan Haji Azmi Nordin.

Professor Emeritus Dato’ Dr Abdul Latiff Mohamad yang bertindak sebagai Ketua Ekspedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu Terengganu 2013 berkata penyelidikan itu juga akan membantu mempelbagaikan dan memperkayakan hidupan ikan, selain memastikan sumber air terkawal serta bersih di tasik buatan manusia itu.

 “Kita akan mengenal pasti penyelidik dari UMT dan UniSZA dahulu menggerakkan penyelidikan itu, jika tidak dapat, kita akan mendapatkan khidmat penyelidik dari universiti lain di seluruh Malaysia khususnya mereka yang muda dan bertenaga,” katanya.