Halaman

28 September 2013

Peserta Walk4Malaysia teruskan cabaran hari ketujuh

Oleh: Noraini Jusoh

Misi peserta Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) menamatkan perjalanan hingga ke Putrajaya kini memasuki hari ketujuh dengan jarak laluan asal sejauh 63.5 kilometer (km), bermula dari Hentian Sebelah, Kuantan ke RnR Gambang, Pahang.

Walau bagaimanapun, seperti yang dilaporkan dalam laman facebook rasmi Walk4Malaysia, cabaran pada hari keenam terpaksa ditamatkan lebih awal dan menyebabkan lokasi permulaan cabaran pada pagi ini turut berubah.

“Alhamdulillah... sebentar tadi para peserta cabaran Walk4Malaysia telah menyambung kembali perjalanan mereka bermula di Plaza Tol Jabor selepas semalam perjalanan mereka terpaksa ditamatkan lebih awal atas sebab-sebab faktor keselamatan berada di Lebuhraya Pantai Timur.

"Perjalanan pagi ini akan menuju ke Hentian Sebelah Kuantan terlebih dahulu kemudiannya akan terus menuju ke RnR Gambang dan ianya bergantung kepada keadaan semasa,” ujar kenyataan tersebut.

Sepanjang perjalanan menuju ke Putrajaya yang dijangka mengambil masa lebih kurang dua minggu secara keseluruhannya, peserta utama Walk4Malaysia, Mohd Noor Mat tidak berseorangan berjalan kaki kerana sentiasa diiringi atlet Sukan Malaysia (Sukma); Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) secara bergilir-gilir untuk menamatkan perjalanan sejauh 600 km seperti yang disasarkan.

Bermula hari ketujuh, peserta Walk4Malaysia akan berada selama lima hari di Lebuh Raya Pantai Timur.

Dari Hentian Sebelah Kuantan, perjalanan diteruskan ke R&R Gambang, Hentian Sebelah Maran, Hentian R&R Temerloh, Hentian Sebelah Lanchang dan ke R&R Genting Sempah.

Manakala cabaran hari ke-12 Walk4Malaysia akan bermula di R&R Genting Sempah, Pahang ke Stadium Bukit Jalil sejauh 47 km yang dijangka memakan masa selama hampir 9 jam.

Sementara pada hari terakhir, 4 Oktober ini, langkah akan bermula dari Stadium Bukit Jalil ke Masjid Putra, Putrajaya melibatkan jarak 20.9 kilometer dengan anggaran masa untuk mengakhiri misi itu selama 4 jam 15 minit.

 

No comments: