Halaman

08 September 2013

PM lancar Walk4Malaysia 13 September

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan melancarkan program Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, pada 13 September (Jumaat) ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri akan menyerahkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Terengganu kepada kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) Cawangan Besut, Mohd Noor Mat, 47, yang akan berjalan kaki sejauh 660 kilometer dari Kuala Besut ke Putrajaya.

Pengerusi Pengelola Walk4Malaysia, Saiful Bahri Baharuddin, berkata program berjalan kaki dari Kuala Besut, Besut ke Putrajaya dianjurkan Kerajaan Negeri Terengganu bagi menterjemahkan sokongan rakyat kepada kempimpinan Perdana Menteri dan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Ia juga merupakan cetusan hasrat Mohd Noor sebagai tanda kesyukuran selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut pada 24 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pegawai Khas Menteri Besar, berkata program tersebut antara lain bertujuan mempromosi kejayaan kerajaan yang ada sekarang ini dalam membina iklim politik yang stabil dan aman.

Katanya, Mohd Noor akan mengambil masa selama 12 hari bagi melaksanakan misi berkenaan di mana beliau akan mula berjalan kaki pada 22 September di Dataran Kuala Besut dan berakhir di Putrajaya pada 4 Oktober.

 “Bermula di Kuala Besut, terdapat lima persinggahan Walk4Malaysia iaitu Merang di daerah Setiu, Batu Burok (Kuala Terengganu), Merchang (Marang), Paka (Dungun) dan Chukai (Kemaman).

“Beberapa lokasi menjadi destinasi persinggahan Mohd Noor di Pahang sebelum ke Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur dan seterusnya ke Putrajaya bagi menamatkan perjalanan,” katanya.

 Saiful Bahri berkata, bagi menjayakan program berkenaan, beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan turut dilibatkan seperti pejabat-pejabat daerah, Majlis Sukan N egeri, Majlis Belia Negeri Terengganu dan Puteri Umno Negeri Terengganu.