Halaman

26 September 2013

Rezeki berganda selepas bersalin, dikunjungi Sultanah Nur Zahirah

Seorang ibu bersama bayinya begitu teruja apabila menerima lawatan diraja, apabila Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenaan berangkat ke HSNZ Kuala Terengganu,  pagi tadi.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

“Tidak sampai tiga jam berada di wad, saya dan bayi menerima lawatan diraja. Pasti ini suatu yang mengujakan dan sudah menjadi rezeki berganda kami, selepas beberapa jam selamat menyambut anak kedua, dapat pula bersalaman dan melihat wajah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah secara dekat,” kata Puan Azrina Abidin, 30, dari Bukit Payong, Marang kepada Teganukita, hari ini.

Azrina antara 34 ibu bersama bayi yang baru lahir menerima lawatan Sultanah Terengganu bersempena Sambutan Ulang Tahun Yang Ke-51 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, kira-kira jam 10 pagi ini.


Baginda Sultanah Nur Zahirah yang diiringi isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; isteri Setiausaha Kerajaan Negeri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah turut menyampaikan sumbangan hamper barangan bayi serta wang tunai.

Puan Azrina yang selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.9 kilogram secara normal, tidak menduga tarikh yang  sama kelahiran bayinya meninggalkan kenangan amat bermakna apabila turut berkesempatan bersua dengan Sultanah Nur Zahirah.

Sementara Puan Syuhaili Hamid, 34, pula sangat gembira apabila Tuanku Sultanah Terengganu sanggup menemui rakyat dan melawat golongan ibu yang baru bersalin di hospital berkenaan sambil menyampaikan sumbangan.

“Ini satu rezeki dan penghargaan yang sangat besar buat kami kaum ibu yang baru melahirkan zuriat. Nampaknya keputusan balik berpantang di Terengganu dan bersalin di HSNZ walaupun menetap dan bekerja di Johor meninggalkan memori indah buat saya dan bayi kedua kami ini,” katanya yang mempunyai anak sulung berusia enam tahun.

Puan Zainab Ibrahim, 31 dari Kampung Bukit Gasing, Marang yang bersalin cahayamata ketiga, kira-kira jam 12.30 tengahari semalam, juga sangat ceria dengan kehadiran zuriat baru, apatah lagi turut dilawati wanita istimewa di hati rakyat itu.

 “Kalau sebelum ini, dapat tengok baginda tuanku dalam majalah, televisyen dan jauh-jauh sahaja, kali ini nampaknya dekat depan mata. Sangat teruja dan baginda sungguh sopan dan anggun sekali,” katanya.


No comments: