Halaman

10 September 2013

Setiu miliki perpustakaan yang indah dan selesa.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Gedung Ilmu..Perpustakaan Awan Daerah Setiu.
MINAT membaca di kalangan penduduk daerah Setiu yang semakin meningkat menyebabkan jumlah ahli Perpustakaan Awan Daerah Setiu yang terletak di Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu bertambah berkali ganda berbanding di awal penubuhannya kira-kira 30 tahun lalu.

Azran..mahu tambah ahli.
Melihat pertambahan itulah, sebuah perpustakaan baru yang lebih besar di bina di Bandar Permaisuri pada 28 April lalu kos bernilai sekitar RM7 juta dan dilengkapi pelbagai kemudahan serta boleh memuatkan lebih banyak koleksi buku-buku.

Penolong Pegawai Perpustakaan Daerah Setiu, Mohd Azran Yusof, berkata jumlah ahli bertambah dari setahun ke setahun dan sehingga kini jumlahnya kira-kira 7,500 ahli, kerana itulah pembukaan perpustakaan baru amat wajar supaya ahli dan pengunjung dapat pelbagai kemudahan.

Katanya, antara kemudahan yang terdapat di perpustakaan itu ialah, bilik bacaan yang selesa, bilik komputer, bilik aktiviti untuk kanak-kanak, dewan pelbagai guna, surau, bilik bacaan dan beberapa kemudahan lain.

“Perpustakaan ini juga dilengkapi dengan system ‘online’ di mana ahli akan dapat memilih buku yang mahu dipinjamnya di rumah dengan hanya klik buku yang dikehendakinya dan datang mengambilnya di perpustakaan tanpa bersusah payah mencari judul buku,” katanya.

Sedia menerima pengunjung.
Menurutnya, pihaknya juga mengadakan pelbagai aktiviti untuk ahli-ahli antaranya ialah kanak-kanak terutamanya pada hari minggu dan musim cuti persekolahan supaya menarik minat lebih ramai pengunjung mengunjungi perpustakaan itu.

“Biasanya, pengunjung akan lebih ramai pada hari minggu kerana mereka boleh lebih lama berada di perpustakaan ini samada untuk mencari maklumat atau belajar untuk menghadapi peperiksaan. Kebanyakanya mereka datang dari sekitar Bandar Permaisuri,” katanya.

Azran berkata, antara perkhidmatan yang disediakan ialah koleksi pinjaman, koleksi rujukan, dan koleksi permainan dalaman manakala objektif penubuhan perpustakaan itu ialah menyediakan perkhidmatan perpustakaan yang cekap, lengkap dan berkesan untuk masyarakat.

Katanya, beliau mengharapkan lebih ramai penduduk di daerah Setiu mengunjungi perpustakaan itu dan menjadi ahli kerana jumlah buku-buku akan ditambah dari semasa ke semasa untuk mempastikan ahli akan mendapatkan judul buku yang mereka inginkan.
Ceria...pemandangan indah di ruang bacaan.
Luas..tempat mentelaah buku-buku yang selesa.

Tiga kakitangan sedang bertugas. 

.