Halaman

30 September 2013

Sidang DUN: Pembangunan mapan Terengganu penuhi kehendak masyarakat

Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Mohd Syazni Zainuddin (pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri akan memastikan pembangunan semula bandar di setiap daerah seluruh Terengganu dalam tempoh lima tahun akan datang mampu memenuhi tuntutan semasa dan sesuai dengan kehendak masyarakat di masa kini.

Pembangunan semula Kampung Ladang sesuai dengan kehendak masyarakat masa kini.
Dato’ Seri Haji Ahmad Said (BN-Kijal), menjelaskan bahawa sudah menjadi hasrat kerajaan melaksanakan perancangan serta pembangunan menyeluruh dengan menyiapkan segala kemudahan yang bersesuaian dengan peredaran semasa.

“Sebagai contoh bandar Kuala Terengganu, iaitu pilihan rancangan kawasan khas yang melibatkan pembangunan semula Ladang Sahak, Batas Baru, Gong Kapas, tapak Ibu Pejabat Polis Daerah lama, Ladang Tanjung, Kuala Terenganu City Centre (KTCC), serta pembangunan semula Chabang Tiga, Pusat Komersial Gong Badak dan Kampung Tiong.

Sidang dewan Undangan Negeri menarik perhatian pemerhati.
“Ini yang dilakukan dan kita melihat bahawa pembangunan Kampung Ladang sudah dimulakan dengan pembinaan rumah-rumah kediaman serta pengambilan balik tanah sudah pun dilakukan.Insya-Allah tidak lama lagi pembinaan kedai khususnya untuk golongan Bumiputera akan dimulakan,” katanya ketika mengulas soalan lisan dikemukakan YB Muhammad Pehimi Yusof (Jertih-BN), di persidangan DUN, hari ini.

Dato' Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, projek KTCC melibatkan kerja-kerja pembinaan sebuah kompleks beli belah termasuk hotel dan ruang niaga seluas 900, 000 kaki persegi akan dimulakan tidak lama lagi.

 “Begitu juga dengan pembinaan 'drawbridge' yang akan menghubungkan Kuala Terengganu bahagian selatan dengan Seberang Takir bahagian utara akan ditender pada bulan Oktober nanti.

 “Manakala kerja pembinaan Pejabat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dijangka juga akan dimulakan pada Oktober ini. Di samping pembinaan lain termasuk pembangunan semula kawasan Pasar Chabang Tiga dan juga perancangan pembangunan Ladang Tok Pelam, Tanjung, Ladang Sahak dan sebagainya,” katanya.

 Sementara bagi pembangunan daerah baru Kuala Nerus yang melibatkan kawasan Kuala Terengganu utara. kerja-kerja permulaan yang melibatkan kerja-kerja awal pembinaan jalan masuk, sistem perparitan serta kerja tanah bagi membangunkan tapak pusat pentadbiran Kuala Nerus juga sudah bermula.

Manakala, di daerah Besut, kerajaan merancang untuk menyusun semula Pekan Jertih termasuk membina 'Jertih Souq' termasuk pembinaan stesen bas dan teksi serta kemudahan lain seperti perkedaian secara berperingkat.

 “Begitu juga daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang sebagai pusat pentadbiran daerah hulu Terengganu termasuk pembinaan mini kompleks sukan Hulu Terengganu dalam proses pembinaan dan begitu juga dengan penyusunan semula Pekan Ajil di mana tender pembinaan bangunan perkedaian telah dikeluarkan.

 “Di samping itu kerajaan juga merancang pekan Sura Gate sebagai pusat komersial dan juga pusat pentadbiran baru bagi daerah Dungun. Manakala bagi kawasan Ketengah iaitu Bandar Al-Muktafi Billah Shah, kerja-kerja pembangunan yang melibatkan `Rural Transformation Centre’ (RTC) akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga merancang membina bandar baru pada masa hadapan termasuk Pembangunan Bandar Baru Bukit Besar ( Kuala Terengganu) yang mana sudah melaksanakan pengambilan balik tanah penduduk di kawasan terlibat.

Menurutnya, projek pembangunan bandar baru itu juga sudah memulakan kerja pembinaan Pejabat Persekutuan, masjid baru negeri, selain kerja-kerja tanah untuk infrastruktur jalan dan perparitan turut dilaksanakan secara berperingkat dari masa ke semasa.


No comments: