Halaman

28 September 2013

Sinar Baru Peserta Agropolitan Setiu.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Kandang biri-biri yang serba lengkap.
Kawasan perumahan peserta.
SETIU: Seramai 100 peserta yang menyertai Projek Agropolitan di Panchor Menderu, Bukit Putera, di sini sejak Jun lalu, gembira dan mendapat sinar baru kerana mereka terpilih menyertai projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu.

Tinjauan Teganukita semalam, mendapati kebanyakan peserta menganggap pemilihan mereka menyertai projek itu adalah satu tuah dan mengharapkan dapat mengubah masa depan mereka menjadi lebih baik berbanding sebelum itu.

Amaran Mat Nor.
Seorang peserta, Amaran Mat Nor, 41, dari Kampung Bukit Putera berkata dia begitu gembira kerana dipilih menyertai projek itu kerana selain dapat tinggal di sebuah rumah baru yang dilengkapi perabot, dia juga sudah mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap.

“Dulu saya kerja sendiri dan pendapatannya tidak tetap tetapi selepas menyertai projek ini, saya rasa sangat gembira kerana saya diberi gaji sebanyak RM40 sehari dan pendapatan bulanan boleh mencapai RM1,200 sebulan.

“Anak-anakpun suka tinggal di sini kerana mereka dapat berkenalan dengan jiran-jiran yang ramai. Rumahpun agak selesa dan mempunyai tiga bilik. Saya akan terus tinggal di sini dan bekerja dengan baik bagi meningkatkan pendapatan projek ini,” katanya.

Rosman Mohd Nor, 34, dari Kampung Che Muhid, berkata, dia terlalu gembira kerana terpilih menyertai projek itu dan berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu golongan kurang mampu sepertinya untuk menjalani kehidupan lebih baik.

“Terima kasihlah kepada kerajaan kerana memberi peluang kepada saya untuk bekerja di sini, saya mempunyai tiga orang anak, jika sebelum ini saya hanya bekerja kampung dan pendapatan tidak menentu, selepas ini saya harap akan dapat hidup dengan selesa,” katanya.

Seorang lagi peserta Mohd Nasir Hamid, 37, berkata dia berpuashati dengan pendapatan yang diperolehinya dan mengharapkan dapat mengubah kehidupan keluarganya kepada yang lebih baik dan selesa.

Muhaimim..peserta termuda.
Peserta paling muda, Muhamim Mahassan, 22, berkata, dia amat bertuah dan gembira kerana terpilih menyertai projek itu dan berjanjikan akan bekerja dengan baik serta tidak mensia-siakan peluang yang diberi kerajaan.

"Ini adalah hadiah perkahwinan saya kerana saya baru tiga bulan kawin, kalau boleh saya mahu tinggal di sini sampai tua. Terima kasih kepada ECER, Felda dan kerajaan negeri Terengganu," katanya.

Abd. Rahim, Pengurus Projek.
Sementara itu, Pengurus Projek Abd Rahim Maulud, berkata kesemua pekerja menunjukan komitmen yang baik untuk bekerja dan beliau yakin peserta dapat bersama-samanya membantu menjayakan projek Ekonomi Koridor Pantai Timur (ECER) itu sekaligus dapat mempertingkat taraf hidup masing-masing.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, persiapan untuk menyambut kedatangan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk merasmikan projek itu, Esok berjalan lancar dan semua peserta sudah bersedia menyambut kedatangan Tuanku.

“Selain merasmikan Projek Agropolitan ini, Tuanku juga akan menyampaikan Sijil Penyertaan kepada setiap peserta dan melawat beberapa tempat kawasan ini termasuklah ladang kambing biri-biri,” katanya.
Sebahagian biri-biri yang diternak.



No comments: