Halaman

30 September 2013

TAN SRI WAN MOKHTAR DIANUGERAH IJAZAH KEHORMAT DOKTOR FALSAFAH



Bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Teknologi) sempena majlis Konvokesyen Kolej Universiti TATI (TATiUC) kali Ke-7 Sabtu lalu.
Wan Mokhtar,81, tokoh yang menggerakkan penubuhan institusi itu sebagai salah satu persiapan untuk membolehkan anak negeri menguasai kemahiran teknologi dan mengisi ruang kerjaya dalam era kepesatan industri minyak dan gas.
  Pada majlis itu, sebanyak 531 graduan dalam pelbagai bidang yang terdiri daripada 326 pemegang ijazah dan 105 pemegang diploma turut menerima penghargaan masing-masing dalam pelbagai bidang.
  Antara bidang tersebut ialah Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Perkakasan), Teknologi Kejuruteraan Mekatronik, Sains Komputer (Rangkaian Komputer dan Keselamatan), Teknologi Kejuruteraan Kimia, Teknologi Kejuruteraan Polimer, Kejuruteraan Pembuatan, Kejuruteraan Automatif Industri serta Seni Reka Grafik dan Media Kreatif.
 Yang turut hadir pada majlis konvokesyen tersebut ialah Canselor TATiUC, Tan Sri Wan Abdul Rahman Wan Yaakob; Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Bazlan Abdul Rahman dan Rektor TATiUC, Dr. Zunaidi Ibrahim. Bazlan ketika berucap pada majlis konvokesyen itu berkata, sepanjang penubuhannya sejak 20 tahun lalu, TATiUC kini telah berjaya mengeluarkan 3,761 graduan dan diterima baik oleh pihak industri .
  Katanya, bagi memastikan graduan yang dihasilkan TATiUC tetap berkualiti dan berketerampilan dan memenuhi keperluan industri, pihaknya akan sentiasa memantau pencapaian bekas penuntut melalui kajian pengesanan graduan yang dilakukan setiap tahun. "Berdasarkan kajian yang dilaksanakan pada tahun 2012, didapati hampir 80 peratus pelajar mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat multi nasional seperti Petronas, EPIC, DRB-Hicom, Eastern Steel Sdn. Bhd. dan banyak lagi manakala selebihnya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah.
  Sempena majlis itu juga, Mohd. Zairi Kamaruddin, 27, yang merupakan Graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.94 menerima Anugerah Canselor. Graduan Diploma Kejuruteraan Automotif Industri (Instrumental dan Elektronik) M. Rafizi A. Razak,26, pula menerima Anugerah Pengerusi manakala graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Perkakasan) Mohd. Rozi Bakar, 23, menerima Anugerah Rektor. (sumbangan Utusan)