Halaman

02 September 2013

Umno lebih matang selepas PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Umno Terengganu yakin dengan pengalaman yang diperolehi sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)   mampu memulihkan kelemahan dan setiap ahlinya lebih bersiap-sedia bagi berdepan pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangannya, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Umno sudah banyak pengalaman termasuk berdepan dengan pelbagai konflik seperti mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang terpaksa dibatalkan sedikit masa dulu.

“Banyak pengalaman kita tempuh, termasuk zaman senang, susah dan konflik, sebenarnya ini yang mematangkan Umno itu sendiri.

“Saya yakin di bawah kepimpinan Presiden Umno, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan Pengerusi Umno Negeri, Dato’ Seri Ahmad Said, saya tidak nampak akan timbul masalah kerana dengan apa berlaku hari ini sudah banyak memberi pengajaran, “ katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Amad Razif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkata, seluruh kepimpinan dan ahli Umno harus mengorak langkah membetulkan apa yang perlu diperbetulkan dan memperkuatkan segala kelemahan yang ada.

Beliau berkata, pucuk pimpinan bahagian seluruh Terengganu yang bakal menerajui pelbagai jawatan di peringkat itu harus melihat kekurangan dan kelemahan sebelum ini serta mengambil memperbetulakannya secara kolektif.

Katanya, seluruh ahli perlu bekerjasama dan memuhasabah diri demi memperkasakan parti keramat yang sudah lama terbukti membela agama, bangsa dan negara.

 “Jika kita benar-benar belajar dan memuhasabah diri, melihat pengalaman lalu sebagai pengajaran berguna, seluruh ahli Umno akan lebih bersedia untuk berdepan pilihan raya umum akan datang,” katanya.