Halaman

15 September 2013

Usaha Terengganu lahir atlet cemerlang dipuji

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Belia dan Sukan YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar, memuji usaha gigih Kerajaan Terengganu memajukan bidang sukan hingga membolehkan negeri ini muncul sebagai kuasa sukan negara ini.

Beliau berkata, hasil kegigihan kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan untuk atlet tempatan dan usaha berterusan melahirkan atlet cemerlang, Terengganu muncul juara Sukan Malaysia (Sukma) selama empat tahun berturut-turut.

Tahun ini, katanya, walaupun Terengganu kurang bernasib baik apabila sekadar menjadi naib juara Sukma di mana Selangor telah muncul sebagai juara, ia masih pencapaian yang membanggakan.

“Bagaimanapun, apa yang penting, kementerian ini sangat kagum dengan usaha dilakukan oleh Kerajaan Terengganu dalam melahirkan atlet yang cemerlang dalam pelbagai bidang sukan.

 “Saya harap usaha seumpama ini diteruskan bagi kebaikan dan kepentingan bidang sukan di negara ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran “Walk For Malaysia” (Walk4Malaysia) di pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, kelmarin.

YB Khairy Jamaluddin turut memuji usaha kerajaan negeri membantu Mohd Noor Mat, menunaikan niatnya untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya melalui program Walk4Malaysia.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Beberapa anak syarikat kerajaan negeri menjadi penaja utama bagi menjayakan misi berkenaan dengan sumbangan dana berjumlah RM650,000.

YB Khairy Jamaluddin meminta negeri-negeri lain mencontohi Terengganu dalam usaha memperkasakan bidang sukan bagi membantu meningkatkan mutu sukan negara.

Untuk rekod, selain juara Sukma Terengganu juga muncul negerui pertama menubuhkan pasukan lumba basikal profesional, Terengganu Cycling Team (TSG) dan melahirkan ramai atlet lumba basikal yang mencipta nama di peringkat antarabangsa.