Halaman

22 September 2013

Usahawan perlu manfaat peluang dan kemudahan ditawarkan kerajaan

Oleh: Noraini Jusoh

Golongan usahawan di negeri ini diseru manfaatkan semua peluang dan kemudahan yang ditawarkan kerajaan supaya produk yang diperkenalkan mampu berada di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, golongan usahawan sepatutnya merebut setiap peluang dan kemudahan yang diberikan sekali gus dapat memenuhi hasrat kerajaan negeri mahu memperhebat golongan usahawan dan memperluaskan skala perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini.

“Pihak kerajaan mengharapkan setiap daerah mengambil peranan yang lebih giat dan efektif dalam membangunkan produk baru dan usahawan di setiap daerah dinasihatkan mengatur strategi yang sewajarnya dalam mengurus dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

"Sebagai contoh, kemudahan yang disediakan pihak pejabat daerah yang dipertanggungjawabkan membantu dalam meningkatkan tahap pembungkusan dan perlabelan produk usahawan di bawah mereka agar produk tersebut mampu bersaing di pasaran terbuka perlu dihargai usahawan berkenaan,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Lembaga Pengarah, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Dato’ Haji Sabri Mohd Noor ketika Perasmian Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Zon Timur dan Festival Coklat dan Bakeri 2013 di Pusat Dagangan Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, banyak kekuatan dan keunikan produk negeri ini yang boleh diketengahkan contohnya batik, songket, ukuran kayu, tembaga dan sebagainya yang mempunyai potensi untuk dikembangkan.




No comments: