Halaman

29 September 2013

Wanita Umno mahu diiktiraf sebagai tulang belakang, bukan lagi sayap parti

Oleh: Aida Abd Rahman

Wanita Umno  menggesa supaya pergerakan itu diiktiraf sebagai tulang belakang dan tidak lagi sebagai sayap parti, bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Ketua pergerakannya, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pengiktirafan itu amat penting memandangkan golongan itu mewakili ramai ahli Umno selain penyumbang yang besar kepada kemenangan parti Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

 “Saya tekad untuk memperjuangkan dua perkara dalam Wanita Umno, pertama saya bertekad menentukan perjuangan untuk `mengarus perdanakan’ Wanita Umno di tempat membuat keputusan.


“Selain itu juga, saya mahu Wanita Umno diiktiraf selaku tulang belakang kepada Umno menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Sambutan Merdeka Raya Semarak, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Timbalan Menteri Wanita, Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun; Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Rosnah  Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Pergerakan Wanita Umno negeri, Datuk Hajah Fatimah Hamat.

Turut hadir, semua Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian dan  kepimpinan Wanita Umno Cawangan, Dewan Undangan Negeri dan Bahagian seluruh Terengganu.

Dato’ Seri Shahrizat berkata, sekiranya diberi peluang untuk terus menerajui kepimpinan Wanita, beliau bersama barisan Exco bertekad untuk meneruskan perjuangan khususnya membela nasib golongan itu dan berharap permintaan Wanita Umno untuk diiktiraf sebagai tulang belakang Umno dipenuhi Presidennya, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Saya nak wanita Umno diiktiraf selaku tulang belakang Umno Malaysia. Kenapa, pertama dari segi keahlian kerana kita memang ramai ahli. Keduanya dari segi komitmen, dedikasi , jentera dan kerja-kerja yang dijalankan korum kami di cawangan, jadi masanya sudah tiba bagi kami Wanita Umno diberi pengiktirafan sebagai tulang belakang Umno, Pemuda sebagai sayap kanan,  manakala uteri sebagai sayap kiri.

“Saya nampak struktur ini adalah struktur yang cantik sekali untuk mantapkan Umno, itu pertama. Keduanya, kami Wanita Umno juga bertekad untuk terus memperjuangkan isu wanita, keluarga dan masyarakat, “ katanya.

Menurutnya, isu yang dikemukakan dari wanita di peringkat akar umbi yang melibatkan 18,000 Umno Cawangan seluruh negeri dapat dibawa kepada kementerian untuk perjuangan sewajarnya memandangkan pimpinan pergerakan mempunyai Dato’ Azizah Mohd Dun yang memegang portfolio Timbalan Menteri Wanita, Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat (bertanding jawatan Naib Ketua Wanita Umno Malaysia).

“Jadi, Insya-Allah saya yakin bahawa oleh kerana kesatuan yang ada pada Wanita Umno hari ini, lepas sahaja pertandingan, kita akan masuk kepada satu era yang begitu mengujakan, termasuk persiapan PRU14 akan dibuat secepat mungkin.

 “Kita akan membuat pembaharuan kerana jentera kita dari segi asas sudah `cantik’, cuma Wanita perlu perbaiki diri, cuma kita akan kembangkan lagi sayap Wanita Umno,” katanya.

Selain itu, beliau juga mahu kepimpinan Wanita Umno Terengganu lebih bersiap sedia menjelang PRU14 supaya ada di kalangan mereka dicalonkan pada pilihan raya umum itu nanti.

Beliau juga yakin Pengerusi BN negeri, Dato' Seri  Ahmad Said merangkap Menteri Besar Terengganu itu akan memberi peluang kepada Wanita Umno negeri itu untuk mengisi mana-mana kerusi Dun nanti.

Dato' Seri Shahrizat bakal ditentang penyandang Naib Ketua Umno Bahagian Rompin, Datuk Maznah Mazlan bertanding jawatan Ketua Wanita Umno Malaysia pada pemilihan Oktober ini.


No comments: