Halaman

04 October 2013

36 pasangan suami isteri ikuti kursus Pasca Perkahwinan


Pakar sakit puan Dr Ismail Tamby turut menyampaikan ceramah

Oleh: Mohammad Ishak 

Peluang menyertai Program Pasca Perkahwinan 2nd Honeymoon bersamapasangan masing-masing ada sesuatu yang amat menyeronokkan dan meninggalkan kesan yang amat dirasai kepada setiap peserta.

Program anjuran Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Negeri Terengganu dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sememangnya menarik dan tidak menghampakan peserta walaupun jadual program amat ketat.

Seramai 72 peserta membabitkan 36 pasangan suami misteri dipilih menyertai program tiga hari yang berlangsung di sebuah hotel di Pulau Langkawi.

Setiausaha PPKM Terengganu, Abdul Halim Mohamad berkata, sepanjang mengikuti program berkenaan peserta dapat menghayati detik permulaan perkahwinan sehingga pada usia sekarang.

Katanya, modul yang diperkenalkan oleh YPKT amat menarik dan berkesaan sehingga peserta walaupun sudah berusia tetapi tidak jemu sebaliknya menghayati setiap edisi program dengan penuh minat.

Menurutnya, melalui pelbagai aktiviti yang dilakukan peserta menunjukkan sikap sporting dan tidak malu-malu untuk melakukan sesuatu termasuk lakonan semula perkahwinan untuk mengingati peristiwa silam.

Beliau berkata, program seumpama itu yang julung kali disertai ahli persatuan mampu menimbulkan nastolgia silam selain menjadikan pendidikan berumah tangga yang sempurna menjadi asas untuk terus kekal sebagai pasangan suami isteri hingga ke akhir hayat.