Halaman

30 October 2013

40 peserta sertai latihan dalam air

Teks dan gambar oleh Mohammad Ishak

Seramai 40 peserta mewakili pelbagai pertubuhan sukarela sekitar daerah Besut dipilih menyertai Program Smart yang berlangsung di Agro Resort, Setiu, kelmarin.

Peserta yang mengikuti Program Smart yang diadakan di Agro Resort, Setiu.
Program anjuran bersama Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Daerah Besut dengan kerjasama Skuad 1Malaysia bertujuan melahirkan generasi prihatian terhadap aktiviti kesukarelawan selain memperkasakan kepemimpinan generasi muda.

Pengerusi MAYC Besut, Wan Adilah Wan Awang berkata, sepanjang mengikuti program sehari itu peserta diberi pelbagai pendedahan mengenai aktiviti di air yang membolehkan peserta mengetahui selok belok menyelamat mangsa lemas.


Katanya, selain wakil sukarela program itu turut dikongsi bersama oleh pimpinan baru Puteri Umno Besut yang turut serta menjayakan program berkenaan.

Menurutnya, konsep bekerjasama dalam kumpulan menjadi teras kepada peserta supaya mereka sentiasa menjalankan aktiviti secara berpasukan tanpa mementingkan diri sendiri.

“Melalui kaedah ini ia dapat melahirkan golongan pemimpin muda yang berkeyakinan dan semangat jati diri,” katanya.

Menariknya,kata Wan Adilah sebahagian besar peserta adalah anak muda dan wanita yang sememangnya menunjukkan minat mendalam dalam aktiviti berkayak dan sukan lasak.

Katanya, kaedah latihan di air memerlukan tahap kesabaran tinggi peserta selain terpaksa berhati-hati kerana mempunyai risiok tinggi dalam aspek keselamatan diri.

Bagaimanapun,katanya, dengan adanya tunjuk ajar jurulatih berpengalamn program berkenaan dapat berjalan lancar dan berjaya melahirkan peserta yang gigih dan tabah menghadapi cabaran walaupun ada antara mereka tidak pernah berada di dalam air yang dalam.