Halaman

07 October 2013

Berkempen secara berhemah-Pengerusi BPUNT

Oleh; Esah Abdullah 

"Berkempen tidak salah tetapi biarlah secara berhemah," itu nasihat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT), Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kepada semua ahli Umno yang menawarkan diri bagi bertanding pelbagai jawatan parti tahun ini.

“Bila ada pertandingan memanglah perlu berkempen tetapi elakkan dari menfitnah kawan sendiri semata-mata untuk menang dalam parti,” katanya ketika berucap di majlis Pengenalan Calon-calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Exco Pergerakan Sayap Umno di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak semalam.

Katanya, berkempenlah secara sihat jangan sampai jatuh menjatuhkan pihak lawan itu dikira tidak bagus untuk masa depan parti yang ditunjangi bersama. Lebih 2,000 perwakilan Umno termasuk calon dari tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri serta MKT  memperkenalkan diri masing-masing.

Calon Naib Presiden yang juga Menteri Besar Kedah, Dato’ Mukhriz Mahathir dan juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Dato’ Seri Mohd Ali Rustam turut hadir.

Antara calon MKT yang hadir termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Dato’ Seri Shahidan Kassim; Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad Hassan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Hasan Malek.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar mengingatkan semua jentera calon agar tidak membuat kesilapan ketika berkempen kerana ia akan memberi kesan tidak baik kepada parti terutama untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.