Halaman

20 October 2013

Bersama teguhkan UMNO-Bazlan.


Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Bazlan..mahu khidmat untuk parti.
SETIU: Naib Ketua UMNO Bahagian Setiu yang baru, Bazlan Abdul Rahman akan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada Ketua dan Timbalan Ketua UMNO Setiu dalam menentukan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional untuk terus mentadbir daerah Setiu.

Bazlan yang mendapat majoriti sebanyak 326 undi dalam pemilihan UMNO Setiu semalam itu, berkata kerjasama erat antara kepimpinan dengan peringkat bawahan parti mampu memperteguhkan lagi UMNO Setiu daripada sebarang kemelut yang boleh mengugat kedudukan UMNO di kalangan rakyat.

"Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada kepimpinan UMNO Setiu dalam melaksanakan agenda parti. Kita satukan semula barisan bagi mempastikan UMNO dan Barisan Nasional akan terus mendapat tempat di hati rakyat," katanya yang sebelum ini memegang jawatan AJK Bahagian itu

Bazlan berkata, jika dahulu parti yang memanggilnya untuk berkhidmat, kini tugasnya pula untuk berkhidmat untuk parti melalui tugas barunya sebagai orang ketiga terpenting dalam UMNO Setiu iaitu jawatan Naib Ketua Bahagian.

"Saya akan memikul tugas ini dengan sebaik mungkin demi untuk UMNO dan rakyat Setiu keseluruhannya. Apa yang lebih penting ialah rakyat akan mendapat manafaat dari tugasan yang akan saya lakukan," kata Adun kawasan Batu Rakit itu.

Sementara itu, Bazlan mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada mesyuarat pemilihan semalam, menurutnya, soal kalah atau menang tidak lagi wujud selepas tamatnya mesyuarat pemilihan itu demi untuk perpaduan UMNO.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada semua perwakilan dari semua cawangan yang hadir dan tahniah kepada semua AJK yang berjaya manakala kepada yang tidak terpilih, teruskan setia berkhidmat kepada parti supaya UMNO Setiu akan tetap teguh dan sentiasa mendapat tempat di hati rakyat," katanya

.