Halaman

16 October 2013

Din syukur terima bantuan kerajaan.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Din..dapat RM200 dari JKM.
WARGA EMAS, Abdul Rahman Said, 60, dari Kampung Buluh Hilir, Setiu, yang cacat penglihatan ketika di zaman kanak-kanak gembira dan bersyukur kerana menerima bantuan bulanan daripada kerajaan sejak lebih 20 tahun lalu.

Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai “Din Buta” yang pernah bekerja mengambil upah memanjat kelapa itu menganggap bantuan bulanan yang diterimanya RM200 sebulan itu meringankan bebanan hidupnya.

“Saya bersyukur kerana anak-anak sudah besar dan boleh berdikari sendiri, bantuan itu cukuplah untuk makan saya seorang, dulu masa anak masih belajar, saya mengambil upah memanjat pokok kelapa untuk menyara mereka,” katanya yang mempunyai dua orang anak itu.

“Dulu saya terpaksa bekerja kuat untuk menyara anak-anak tetapi sekarang cukuplah dengan bantuan itu. Saya bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada kerajaan terutamanya JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) kerana perihatin dengan orang cacat seperti saya ini,” katanya yang berulang alik sejauh 500 kilometer berjalan kaki untuk menunaikan solat jemaah di sebuah surau itu.

Menurutnya, walaupun tidak lagi menjadi rutin hariannya tetapi dia masih melakukan kerja memanjat kelapa itu sekali sekala sekiranya ada yang mengupahnya kerana kerja itu sudah sebati dalam hidupnya sejak masih kecil lagi.

“Kalau nak ikutkan umur memanglah saya tidak boleh memanjat pokok kelapa lagi tetapi jika ada yang suruh dan pokok tidak terlalu tinggi, saya masih boleh lagi memanjatnya tetapi bukanlah selalu,” katanya.