Halaman

06 October 2013

FESTIVAL GAMELAN SEDUNIA 2013, 25 HINGGA 27 OKTOBER 2013, DATARAN SHAHBANDAR, KUALA TERENGGANU


Festival Gamelan Sedunia ( FGS III ) 2013 merupakan siri ke tiga festival gamelan setelah 2 kali penganjuran festival yang sama pada tahun 2008 dan 2010. FGS III merupakan program anjuran kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Objektif utama festival ini ialah sebagai satu medan untuk mengangkat kembali martabat gamelan, khususnya seni gamelan Melayu ke persada antarabangsa.

Selain itu, FGS III juga merupakan medan untuk seluruh pencinta gamelan dari seantero dunia bertemu dan seterusnya bertukar-tukar kepakaran serta buah fikiran dalam usaha menglobalisasikan gamelan dalam konteks antarabangsa.

Selain itu, FGS III juga diterjemahkan sebagai salah satu acara bagi memeriah serta menjayakan kempen Tahun Melawat Terengganu 2013.

Festival 3 hari akan berlangsung di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, bermula dari 25 Oktober dan berakhir pada 27 Oktober 2013.

FGS III menampilkan dua segmen utama, iaitu pertama, segmen persembahan dan keduanya segmen bengkel. Dalam segmen persembahan, beberapa buah kumpulan gamelan antarabangsa akan mengambil bahagian.

Di antara kumpulan luar negara yang bakal mengambil bahagian termasuklah Kumpulan Gamelan Kayu Gangsa, Nottingham, Eropah; Kumpulan Gamelan All Stars, Eropah; Kumpulan Gamelan Wasabi, Jepun; Kumpulan Gamelan Central Conservatory of China, China; Kumpulan Gamelan Gondrong Gunarto, Jawa, Indonesia; Kumpulan Gamelan Sangrila, Bali, Indonesia dan Kumpulan Cak Lempong Gastarana, Bukit Tinggi, Indonesia.

Kumpulan professional dalam negara yang mengambil bahagian termasuklah Kumpulan Gamelan Hands Percussion; Kumpulan Gamelan Rhythms in Bronze; Kumpulan Gamelan Swakarya; Kumpulan Gamelan Orkestra Tradisonal 1 Malaysia, Istana Budaya; Kumpulan Gamelan Gema Gangsa, Universiti Islam Antarabangsa serta Kumpulan Gamelan Alkis Gemawan.

Tiga kumpulan gamelan negeri Terengganu yang turut membuat persembahan termasuklah Kumpulan Gamelan SUKTRA Terengganu; Kumpulan Gamelan SaGa Warisan dan juga menampilkan satu kumpulan gamelan sekolah, Kumpulan Gamelan Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Sesi bengkel gamelan akan dijalankan selama 2 hari, iaitu bermula dari 26 dan berakhir pada 27 Oktober 2013.

Sesi ini akan dilangsungkan di tapak festival dan dijangka akan disertai oleh lebih daripada 300 orang peserta.

Bengkel ini akan dikendalikan oleh pakar gamelan dari Malaysia, Indonesia dan juga dari Eropah.

Objektif utama bengkel untuk memberi pendedahan kepada pencinta gamelan mempelajari dan seterusnya mendalami seni permainan alat muzik gamelan Melayu, alat muzik gamelan Jawa serta alat muzik Gamelan Bali.

Penganjur mengharapkan agar FGS III mendapat sambutan hangat daripada rakyat berbilang kaum kerana FGS III menampilkan beberapa kumpulan gamelan luar negara serta kumpulan gamelan dalam negara yang hebat serta telah mencipta nama di luar negara.

Maklumat lanjut boleh didapati daripada Urusetia, Festival Gamelan Sedunia 2013, Lembaga Muzium Negeri Terengganu di talian 09-6221444.