Halaman

11 October 2013

Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan bertanggungjawab pelihara bahasa Melayu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang bertanggungjawab untuk memastikan taraf dan kedudukan bahasa Melayu terus terpelihara di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta sektor berimpak tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Dr Zaharani Ahmad, berkata bagi tujuan itu, pelbagai pekeliling dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, termasuk yang terbaru Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 tahun 2011 tentang Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

“ Menyedari hakikat ini, bagi membantu Jabatan Perkhidmatan Awam memantau dan menguatkuasakan pelaksanaan pekeliling ini, DBP telah mengambil langkah positif dengan memperkenalkan program audit bahasa demi memastikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus dimartabatkan dan diperkasakan di sektor awam.

 “Tiga perkara utama yang akan diaudit ialah dokumen-dokumen rasmi, komunikasi lisan dan paparan, manakala aspek pengauditan tertumpu kepada taraf dan mutu bahasa Melayu,” katanya di Majlis Pelancaran BBK Peringkat Negeri Terengganu, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir merasmikan majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Tokoh Bahasa dan Felo Institut Alam Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dato’ Teo Kok Seong.

Prof Dr Zaharani berkata, menerusi program itu semua dokumen di jabatan dan agensi kerajaan akan mula diaudit pada tahun ini.

 “Pada tahun ini, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mewujudkan sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan bagi menghargai usaha Pihak Berkuasa Tempatan memartabatkan dan memeperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam,”katanya.

Katanya, melalui pelaksanaan pelbagai program bahasa, anggota masyarakat yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur mempunyai peluang dan ruang untuk menyertai apa-apa juga aktiviti yang dilaksanakan. 

Beliau berkata, semua kegiatan tersebut disusun bagi memenuhi aspirasi nasional yang ingin melihat rakyat Malaysia hidup dalam rukun damai dan bersatu padu.

 “Kami berharap dampak semangat mencintai dan berbangga akan bahasa kebangsaan akan tergambar dan tertanam di sanubari semua lapisan masyarakat.

 “Walaupun negara kita sudah 56 tahun mencapai usia kemerdekaan, namun kemantapan bahasa kebangsaan dalam sistem bernegara masih belum boleh dibanggakan, malahan masih jauh daripada pencapaian yang sewajarnya.

Menurutnya, bertitik tolak dari situ, DBP yang diamanahkan oleh kerajaan untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu akan terus melaksanakan program memartabatkan dan memperkasakan bahasa tersebut agar terpamer jati diri dan citra bangsa Malaysia.