Halaman

31 October 2013

JKR terima laporan terperinci runtuhan bumbung Masjid Kampung Tebauk

Oleh: Noraini Jusoh, Mohd Syazni Zainudin dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (pelatih)

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu telah menerima laporan terperinci mengenai runtuhan bumbung Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal daripada Unit Forensik JKR Pusat.

Pengarahnya, Dato’ Ir Shafii Mohamad (gambar) berkata, pihaknya baru mendapat laporan berkenaan dan akan membuat penilaian terhadap laporan itu.

“Setelah semua masalah dikenal pasti kita akan melaksanakan projek itu secepat mungkin, selaras dengan kehendak kerajaan negeri yang meminta masjid berkenaan dibaik pulih dengan kadar segera supaya dapat digunakan dengan lebih selesa oleh orang ramai.

“Kita juga akan berbincang balik dengan kontraktor dan pembekal yang baru dilantik untuk melakukan kerja-kerja pemasangan semula bumbung Masjid Kampung Tebauk,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui di Majlis Mesyuarat Agung Kali-40 Kesatuan Pekerja-Pekerja JKR Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, YB Mohd Iskandar Jaafar serta Yang Di Pertua Kesatuan Pekerja-Pekerja JKR Negeri Terengganu, Salleh Samat.

Menurut Dato’ Ir Shafii, pihaknya terpaksa mengambil masa sebelum kerja-kerja baik pulih dijalankan kerana banyak perkara yang perlu dikenalpasti dan disiasat dengan teliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

Sebelum ini, Teganukita melaporkan sebahagian bumbung dan siling Masjid kampung Tebauk, Bukit Tunggal runtuh dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 pagi 29 September lalu.

Hampir 20 peratus atau keluasan 10x15 meter bumbung di bahagian ruang solat yang bernilai RM5.8 juta itu runtuh dipercayai berpunca daripada masalah kekuda.

Bagaimanapun, masjid yang dibina pada Januari 2010 dan siap sepenuhnya pada Oktober 2011 itu masih dapat digunakan setelah ia didapati selamat, kecuali bahagian yang terlibat dengan runtuhan yang terpaksa ditutup berikutan kerja kajian yang perlu dilakukan oleh Unit Forensik.

Bahagian lain masjid dapat digunakan bagi tujuan solat dan sebagainya kerana hasil pemeriksaan mendapati tiada tanda runtuhan berikutan bumbung masjid tersebut dibina secara berasingan.