Halaman

08 October 2013

Kerajaan negeri komited perkasa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri komited memperkasa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar demi memastikan anak Terengganu yang berjaya ke universiti boleh berbahasa Inggeris dengan lancar sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Terengganu, YB Ghazali Taib berkata, memandangkan strategi yang telah dilaksanakan supaya rakyat Terengganu tidak buta teknologi maklumat (IT) telah menampakkan hasil, kerajaan negeri kini merangka strategi untuk memastikan anak Terengganu boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

“Keputusan kerajaan menjadikan Bahasa Inggeris (BI) sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah satu langkah yang wajar.

“Kerajaan negeri akan memastikan pelajar yang sampai ke peringkat (SPM) boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan merangka beberapa program yang boleh membantu mereka memantapkan penguasaan bahasa masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui di Majlis Dialog Bersama Exco Pendidikan Kedah dan Exco Pendidikan Terengganu di Riyaz Heritage.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Dato’ Haji Tajul Urus Mat Zain serta Pengarah Yayasan Terengganu, Tuan Haji Azmi Razik.

Menurut YB Ghazali, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Yayasan Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri untuk memperkasa penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan anak Terengganu.

Katanya, untuk merealisasikan hasrat menjadikan pelajar Terengganu lancar berbahasa Inggeris semua pihak harus membudayakan perkara tersebut.

“Sebagai contoh, pegawai di Jabatan Pelajaran, Yayasan Terengganu serta guru-guru perlu menguasai bahasa Inggeris dan membudayakan dahulu penggunaan bahasa ini di kalangan mereka supaya menjadi ikutan kepada para pelajar,” ujarnya.

Katanya, khidmat Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) daripada Amerika Syarikat yang ditempatkan di beberapa sekolah terpilih di Terengganu secara tidak langsung turut membantu melancarkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

“Ia sedikit sebanyak berjaya mengubah budaya pelajar daripada takut berinteraksi dalam bahasa Inggeris kepada lebih berani,” ujarnya.

Tambah beliau, khidmat ETA akan diteruskan di Terengganu dengan membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa supaya dapat membantu lebih ramai pelajar yang dapat menguasai bahasa kedua ini dengan baik.