Halaman

10 October 2013

Kerajaan negeri sahkan Terengganu bebas fahaman Syiah

Oleh: Noraini Jusoh, Mohd Syazni Zainudin dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (pelatih)

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib mengesahkan Terengganu bebas dari fahaman Syiah.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk kepimpinan di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), imam, bilal, ketua komuniti dan masyarakat tidak ada lokasi khusus yang dijadikan tempat penularan fahaman Syiah di Terengganu.

Malah katanya, setakat ini tiada lagi individu yang terlibat dan ditangkap berkaitan dengan fahaman Syiah di negeri ini.

“Kalau ada risalah itu hanya satu provokasi untuk melihat bahawa seolah-olah Syiah berada di Terengganu.

“Saya mewakili kerajaan negeri menafikan sama sekali bahawa fahaman Syiah menular di negeri ini kerana semua daerah di Teregganu telah disahkan bebas daripada fahaman Syiah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu Syiah di Terengganu pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Netbook 1Malaysia di Institut Al-Quran Terengganu (IQ Terengganu), semalam.

Turut hadir, Pengarah IQ Terengganu Datuk Dr Alias Abdullah serta Penolong Pegawai Daerah Marang (Pembangunan Masyarakat), Ahmad Tasnim Mohamed.

Tambah beliau, tidak ada satu pun umat Islam di Terengganu yang menganuti fahaman Syiah kerana semua mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

 “Tidak mungkin fahaman ini akan ada di Terengganu kerana Enakmen Negeri Terengganu cukup jelas serta tegas.

“Kita akan pastikan di Terengganu tidak ada fahaman lain selain Ahli Sunnah Wal Jamaah,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan berpandukan enakmen dan undang-undang terhadap sebarang kesalahan yang dilakukan rakyat negeri ini termasuk dalam soal fahaman Syiah.