Halaman

07 October 2013

KRT Kampung Molek anjur gotong royong

OLEH : CHE KU ZAINAL CHE KU MUDA



Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Molek mengadakan aktiviti sukaneka pada 5 Oktober lalu bertempat di hadapan Sekolah Kebangsaan Bandar Dungun bermula jam 9.00 pagi.

 Pengerusinya, Zakaria Husain berkata, tujuan sukaneka ini diadakan ialah bagi mengeratkan tali silaturahim di kalangan ahli dengan penduduk kampung.


Beliau berkata, selain itu ia juga mampu membawa kepada kesefahaman dan kecaknaan jiran sekampung walaupun berlainan ideologi, agama dan kaum.

 “Kita sedar bahawa bukan semua penduduk kampung mempunyai fahaman politik yang sama tetapi tujuan kita mengadakan program sukaneka ini ialah bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan terutama di kalangan kanak-kanak.

“Pihak KRT sangat berharap agar tali persaudaraan yang selama ini berpecah akibat fahaman politik yang berbeza dapat ditautkan kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita pada Program Sukaneka Peringkat KRT Kampung Molek yang disertai seramai kira-kira 80 orang penduduk kampung termasuk kanak-kanak.

Di antara acara yang diadakan ialah pertandingan melukis bagi kanak-kanak berumur satu sehingga enam tahun manakala kanak-kanak Tadika dijemput menyertai acara mewarna lukisan.

Bagi memeriahkan majlis, acara selambut kasih terbuka untuk ibu bapa secara berpasangan dengan menggunakan belon berisi air dan telur mentah turut diadakan di samping cabutan nombor bertuah.

Selain itu, KRT Kampung Molek juga mendapat kerjasama daripada pemilik kereta antik serta motosikal berkuasa besar di sini turut mempamerkan kenderaan mereka.

 Zakaria berkata, KRT Kampung Molek juga baru sahaja diluluskan penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan pihak KRT mengharapkan kerjasama dari semua penduduk kampung terutamanya lelaki untuk mendaftarkan diri sebagai ahli rondaan SRS.