Halaman

06 October 2013

KRT Lay Out Tok Saboh,Kuala Besut juara Kempen Kibar Jalur Gemilang 2013


Mohd Mahdi menyampaikan hadiah kepada wakil KRT Lay Out Tok Saboh.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lay Out Saboh,Kuala Besut, mencatat sejarah apabila muncul johan Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang (KKJG) Peringkat Negeri Terengganu 2013 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu.

Dengan kejayaan itu KRT Lay Out membawa pulang RM3,000 serta Piala Iringan dan Sijil Penghargaan. Tempat Kedua ialah KRT Pancor Merah,Guntong,Setiu, mendapat RM2,000 serta Piala Iringan dan Sijil Penyertaan. Manakala tempat ketiga ialah KRT Alur Ketitir,Marang memperolehi RM1,000 serta Piala Iringan dan Sijil Penghargaan.

Majlis penyampaian anugerah itu dilakukan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Negeri, Yang Berhormat Mohd Mahdi Musa yang mewakili Yang Amat Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Majlis yang berlangsung di Dewan Berlian Utama,Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) sempena Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu itu turut disertai lebih 1,000 tetamu mewakili ahli jawatankuasa KRT Rukun Tetangga seluruh Terengganu.

Pengarah JPNIN Terengganu,Baharuddin Haji Daud berkata, pertandingan KKJG itu bermula 17 Ogos dan berakhir 17 September lalu bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan selain menyemai semangat patriotik dikalangan warga KRT.

Beliau yang bangga dengan sambutan yang diberikan oleh KRT terbabit berharap usaha berterusan dilakukan oleh KRT negeri ini untuk membangkitkan semangat cintakan negara melalui kempen berkenaan.

Sementara itu Mahdi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera memuji usaha yang dilakukan oleh JPNIN kerana penganjuran program berkenaan kerana ia dapat mewujudkan semangat rakyat mencintai negara. .