Halaman

20 October 2013

MB bangga pencapaian terkini TATIuC

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, bangga dengan pencapaian Kolej Universiti Tati (TATiUC) yang kini berjaya mengukir nama di peringkat lebih tinggi dan mencatatkan pengambilan pelajar baru tertinggi 1,000 orang pada sesi pengajian baru tahun ini.

Beliau berkata, bagi pengambilan pelajar baru tahun ini kira-kira 1,000 orang telah mendaftar bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah dan diploma di TATIuC.

“Pada tahun ini seramai 800 pelajar telah memasuki TATIuC bagi mengikuti pengajian peringkat diploma manakala 200 orang peringkat ijazah. Ini merupakan rekod kemasukan pelajar tertinggi sejak institusi pengajian ini ditubuhkan,” katanya pada sidang media selepas majlis Perasmian Dewan Canselor & Pelancaran Program My-Tree di kampus TATIuC di Telok Kalong, hari ini.
\

Selain itu, katanya, TATIuC juga telah berjaya menubuhkan pasukan TATIuC Racing Team yang telah mengharumkan nama kolej berkenaan sebagai sebuah Kolej Universiti Teknikal yang terkenal dengan reka bentuk produk dan pembuatan di negara ini.

Lebih membanggakan pasukan berkenaan berjaya muncul sebagai juara keseluruhan dalam Formula Varsity UTeM dan juara keseluruhan Kejohanan Formula Y anjuran Kementerian Belia dan Sukan 2013 apabila mengalahkan 24 buah jentera lain yang turut menyertai pertandingan berkenaan.

Beliau berkata, pasukan itu juga berjaya menjadi juara keseluruhan dalam Kejohanan Formula UniMAP baru-baru ini yang disertai lebih 30 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara di Litar UniMAP Perlis dan juara IPMA Race 2013 di Melaka.

“Semua kejayaan yang dicapai oleh TATIuC ini dan kemasukan pelajar yang luar biasa menjadi landasan kukuh kepada hasrat menjadikan kolej ini sebagai universiti penuh dalam tempoh terdekat,” ujar beliau.

Bangunan Dewan Canselor TATIuC bernilai RM17 juta uang dirasmikan hari ini mampu memuatkan 2,000 pelajar dan digunakan secara rasmi pada 30 Jun lalu sempena pendaftaran baru sesi kemasukan 2013/2014 dan Majlis Konvokesyen TATIuC kali ke-7 pada 28 September lalu.

“Pembinaan dewan ini amat bertepatan sekali dengan penambahan pelajar TATIuC yang semakin bertambah,” katanya. Kini TATIuC mempunyai 3,000 pelajar yang mengikuti 14 program diploma dan sembilan program ijazah.

Menteri Besar berkata, pihak pengurusan TATIuC dengan dibantu kerajaan negeri akan menambah pelbagai kemudahan seperti asrama tambahan dan kompleks sukan untuk kemudahan dan keselesaan pelajar di masa depan.

“Kerajaan negeri berharap TATIuC akan meraih kejayaan lebih besar di masa depan bagi menarik lebih ramai pelajar memohon untuk melanjutkan pelajaran di sini,” katanya.