Halaman

02 October 2013

Muslim kena reda ketetapan Ilahi

Oleh; Esah Abdullah 

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Demi sesungguhnya telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.” (Surah Yasin, ayat 7).

 Menurut ahli Sunnah wal Jama’ah, setiap yang berlaku adalah di bawah qadak dan qadar Allah SWT dan dalam hal ini manusia mempunyai kemampuan yang terbatas.


Sehubungan itu, manusia berada di bawah ketentuanNya. Mereka masih mempunyai pilihan ke atas takdir yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Menurut, Abu Hafs Umar ibn ‘Ali dalam karyanya al-Lubab fil ‘Ulum al-Quran, maksud benar dan tetap hukuman atas kebanyakan mereka mengandungi tiga penafsiran.

Pertama, hukuman itu ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud; “Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan jenismu dan dengan orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya.” (Surah Saad, ayat 85).

Kedua, hukuman di atas telah termaktub dalam pengetahuan Allah SWT, sama ada beriman ataupun tidak dan ketetapan itu tidak dapat ditukar sama sekali.

Ketiga, kebenaran hukuman itu dinyatakan Allah SWT melalui dakwah Rasul ke arah mengesakan Allah SWT. Apabila mereka menolak dakwah itu dan menjejaskan keimanan dengannya, maka keimanan itu tidak lagi membawa apa-apa erti kepada mereka.

Manusia diberi pilihan dalam segala amalan dan aktiviti berbentuk taklif (tanggungjawab) dan dia akan dinilai oleh Allah atas perkara yang dilakukan. Di sini pentingnya pengetahuan dan hidayah dari Allah SWT.

Menjadi asas akidah Islam bahawa mempercayai qadak dan qadar termasuk dalam Rukun Iman yang perlu dan wajib diimani setiap Muslim. Qadak dan qadar berkait rapat dengan kehendak Allah SWT.

Kepercayaan mengenainya didasari dengan makrifatullah yang sahih. Rasulullah SAW juga menekankan kepercayaan kepada qadak dan qadar dalam hadis ketika ditanya oleh Jibril.

Jawapan Baginda begitu jelas; “Rukun Iman ialah kamu mempercayai kewujudan dan keesaan Allah SWT, malaikat, rasul, kewujudan hari kiamat dan qadar yang baik serta jahat.” (Rirawat Muslim).

Tasawur Islam terhadap qadak dan qadar menjadikan seseorang Muslim akur dan reda dengan ketentuan Allah SWT padanya. Ia bukan memaksudkan manusia tidak mempunyai pilihan dan menyerah sepenuhnya kepada takdir dengan ketiadaan usaha dan iradah. Tetapi kehendak dan keinginannya dibatasi serta mengikut kehendak dan ketentuan Allah SWT.

Perkara ini dijelaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud; “Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan menatadbirkan seluruh alam.” (Surah al-Takwir, ayat 29).

 

No comments: