Halaman

05 October 2013

Program pemeriksaan kesihatan percuma bantu komuniti


Oleh: Noraini Jusoh

Program Kesihatan Institut Jantung Negara (IJN) dan Media Prima Berhad bersama komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir berlangsung sehari di Pusat Rehabilitasi 1Malaysia, Telaga Daing, hari ini.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri, Klinik Kesihatan Teluk Ketapang dan juga Unit Perubatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mengadakan program kesihatan berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya berbesar hati menerima kedatangan pihak IJN untuk memberikan rawatan secara percuma kepada penduduk setempat.

“Disamping pemeriksaan kesihatan biasa, turut diadakan pemeriksaan menyeluruh termasuk pemeriksaan kesihatan melibatkan masalah jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.

Katanya, secara tidak langsung program itu turut memberi galakan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan badan korporat untuk membantu komuniti setempat.

“Penglibatan kepada rawatan dan juga pemeriksaan seharusnya melibatkan semua pihak dan bukan hanya bergantung kepada kerajaan sahaja,” ujarnya.

Menurut beliau, program tersebut diadakan secara tahunan untuk meringankan beban penduduk yang kurang berkemampuan.

“Masalah kesihatan amat kritikal dan akan melibatkan kos yang tinggi apabila melibatkan rawatan.

 “Saya merasakan langkah pencegahan awal adalah lebih baik, justeru inisiatif bagi mengadakan program pencegahan iaitu melalui pemeriksaan kesihatan khususnya untuk penduduk di Dun Seberang Takir diadakan pada setiap tahun,” ujarnya.


Pada majlis perasmian tersebut, Koperasi Warisan Seberang Takir menerima peruntukan untuk menguruskan dan menambah peralatan Pusat Rehabilitasi 1Malaysia sebanyak RM187,291 dan bantuan geran tahunan sebanyak RM100,200 daripada Pejabat YAB Perdana Menteri Malaysia.

Dato’ Razif berkata, dengan bantuan yang perolehi diharap dapat memudahkan lagi pihaknya menggerakkan Pusat Rehabilitasi 1Malaysia dengan lebih efektif.