Halaman

06 October 2013

Pusat Rehabilitasi 1Malaysia tawar rawatan untuk kanak-kanak OKU bermula November

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Rehabilitasi 1Malaysia, Seberang Takir akan memperluas perkhidmatan dengan menawarkan rawatan untuk kanak-kanak berkeperluan khas atau OKU yang dijangka bermula November ini.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman (gambar) berkata, pihaknya telah membuat pembelian peralatan untuk menjalankan fisioterapi kepada kanak-kanak istemewa dengan menelan belanja kira-kira RM60,000.

“InsyaAllah akhir bulan ini, peralatan itu akan diperoleh dan bermula November kita akan mulakan rawatan.

“Buat permulaan, fokus utama adalah terhadap pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seberang Takir dan pelajar Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir serta Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesihatan Institut Jantung Negara (IJN) dan Media Prima Berhad bersama komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di Pusat Rehabilitasi 1Malaysia,Seberang Takir, semalam.

Menurut beliau, dalam tempoh lima bulan beroperasi Pusat Rehabilitasi 1Malaysia yang memberi kemudahan rawatan secara percuma kepada penduduk Seberang Takir dan sekitarnya bagi mendapatkan rawatan pelbagai penyakit kronik yang dikendalikan oleh doktor pakar menunjukkan perkembangan positif.

Malah katanya, pusat yang dulunya memberi fokus kepada pesakit strok atau angin ahmar itu kini diperluas dengan menyediakan rawatan khusus untuk kanak-kanak dan turut menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk mereka yang mengalami masalah kemurungan peringkat awal.

“Kini, pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di sini bukan sahaja komuniti Seberang Takir malah telah menyeluruh sehinggakan ada pesakit dari Batu Rakit serta Manir yang datang ke sini untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Katanya, kepada pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di pusat berkenaan perlu mendapat sokongan atau merujuk terlebih dahulu dengan doktor bertauliah.