Halaman

01 October 2013

Quinara- Kampus dalam Resort.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Quinara Al-Safir.
SELEPAS lama membantu anak-anak muda Terengganu berjaya dalam bidang perhotelan dan katering dengan mengunakan bangunan yang di sewa di Bandar Marang selama lebih 10 tahun, kini pemilik Kolej Inforana harus berbangga kerana mampu memiliki bangunan sendiri dengan di lengkapi sebuah resort. 

Pemiliknya,Ahmad Ramzi Abdul Rahman, berkata, jika dahulu Kolej Inforana beroperasi tanpa mempunyai resort tetapi kini konsepnya berubah kerana ia mengabungkan sebuah resort dengan sebuah kolej pengajian atau lebih tepat berkonsepkan kampus dalam resort.

Ahmad Ramzi.
QUINARA Al-Safir, itulah nama resort milik seorang anak tempatan yang sentiasa bekerja keras untuk memajukan diri sendiri dan anak-anak muda seluruh negeri Terengganu melalui kursus ditawarkan oleh Kolej Inforana yang kini beroperasi di tingkat bawah resort tiga tingkat itu.

Ia satu-satunya resort bertaraf tiga bintang dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus yang pesat membangun dan memberikan pilihan kepada pelanggan yang selama ini tertumpu di hotel dan resort di pusat bandar raya.
Kedudukan resort ini cukup strategik, bersebelahan dengan Kelab Golf Kuala Terengganu jika ingin melayani hobi bersama sukan itu dan beberapa lokasi utama lain antaranya ialah Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ahmad Ramzi berkata, resort yang didirikan di atas tanah seluas kira-kira 3.6 hektar itu menawarkan sebanyak 48 bilik terdiri daripada jenis Superior Deluxe dan Superior.

Menurutnya, harga yang ditawarkan pula jauh lebih murah berbanding hotel bertaraf tiga bintang lain iaitu bermula dari harga RM120 hingga RM140 termasuk sarapan untuk dua pelanggan dengan menyediakan pelbagai menu tempatan khususnya makanan negeri Terengganu dan juga makanan Barat.

''Ia tentunya sesuai untuk semua golongan dengan harga yang tidak membebankan dan membolehkan mereka menginap lebih lama jika banyak urusan di sini. Selain daripada itu, Quinara Al-Safir juga mengamalkan prinsip syariah di mana tiada minuman dan makanan tidak halal disediakan di resort ini.

"Di sini, kami amat mementingkan konsep syariah di mana setiap pekerja perlu mengambil wuduk sebelum memulakan tugas selain itu kami akan berkumpul sejam sebelum masuk waktu bekerja untuk berzikir beramai-ramai.

"Kebersihan dalam penyediaan makanan akan dititikberatkan di mana semua bahan yang kita gunakan adalah dari sumber yang halal lagi bersih demi menjaga kesucian agama Islam," katanya.

Tetamu di layan dengan mesra.
Katanya, bagi mereka yang gemarkan makanan Timur Tengah, mereka boleh singgah di Al-Marwah Cofee House yang ditempatkan di tingkat dua hotel. Ia menyajikan masakan dari negara Arab seperti nasi mandy, nasi arab dan juga ayam panggang bersama kari kambing dan manisan.

Sebagai sebuah resort, tidak lengkap sekiranya setiap bilik tidak dilengkapi dengan keperluan asas iaitu televisyen, pendingin hawa, pemanas air dan kemudahan melayari internet.

Selain itu, untuk memenuhi keperluan pelanggan, beberapa fasiliti lain turut disediakan iaitu surau, bilik seminar yang memuatkan 30 orang, dewan utama yang mempunyai kapasiti 1,000 orang serta ruangan parkir. Quinara Al-Safir juga turut menawarkan pakej mesyuarat, kursus, perkahwinan dan seminar kepada pelanggannya.

No comments: