Halaman

02 October 2013

Sebanyak 113,922 e-Book diagihkan sejak 2009

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri telah mengagihkan sebanyak 113,922 buah e-Book kepada murid tahun empat dan lima di seluruh Terengganu membabitkan peruntukan kira-kira RM107.3 juta.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata, pemberian buku elektronik tersebut dalam tempoh lima tahun sejak diperkenalkan 2009 lalu sehingga sekarang.

 Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, sebanyak 23,702 murid tahun lima menerima e-Book yang membabitkan perbelanjaan melebihi RM22 juta diikuti 23,313 murid tahun lima menerima kemudahan itu yang melibatkan peruntukan kira-kira RM22 juta pada 2010.

Katanya, untuk tahun 2011, sebanyak 23,194 murid tahun lima turut menerima sumbangan itu melibatkan peruntukan RM21.9 juta, seramai 22,117 murid tahun empat mendapat E-Book dengan peruntukan RM20.9 juta pada tahun lalu.

"Bagi tahun ini, sebanyak 21,596 murid tahun empat menerima E-Book yang melibatkan jumlah peruntukan kira-kira RM20.5 juta," katanya.

YB Ghazali turut menangkis dakwaan pihak pembangkang kononnya pemberian e-Book yang membabitkan kos besar tidak memberi impak positif kepada para pelajar.

 Sebaliknya, jelas beliau, sejak kemudahan itu diperkenalkan pada 2009 lalu selain penambahbaikan yang dilakukan kerajaan, ia mampu meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dalam peperiksaan terutama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Terengganu.

Pada masa sama, katanya, usaha kerajaan mewujudkan program kelas maya dengan menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga sebagai sekolah perintis juga berupaya melonjakkan kedudukan sekolah berkenaan dalam senarai sekolah terbaik.

 "Sejak dijadikan sekolah perintis dalam projek kelas maya, SK Paya Bunga memperoleh Gred Purata Sekolah yang terbaik di mana sebelum ini berada pada kedudukan 4,000 dalam senarai kebangsaan, kini melonjak ke tangga 620," katanya.

 

No comments: