Halaman

28 October 2013

YB. A.Latiff pemimpin berwawasan, cakna rakyat

Oleh : Amirullah Othman 




Ketua Umno Bahagian Marang, Y.B. A. Latiff Awang, yang baru dipilih memegang jawatan itu pada 19 Oktober lalu, dilihat amat sesuai menerajui bahagian ini dan pemilihannya amat tepat kerana beliau merupakan wakil rakyat tunggal Barisan Nasional (BN) yang menang pada Pilihanraya Umum Ke- 13.

Beliau juga merupakan EXCO Kerajaan Negeri Terengganu yang boleh mengembalikan penyatuan dan kesetiaan bagi mengukuhkan lagi semangat perpaduan di kalangan ahli UMNO selepas pemilihan kepimpinan UMNO Bahagian Marang selesai bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke 14 nanti.


Y.B A.Latiff bukan sahaja dilihat sebagai pemimpin pilihan rakyat dari akar umbi, namun beliau mampu dan mempunyai kelebihan untuk menjadikan Marang sebagai sebuah daerah yang beridentiti dan bertransformasi.

Beliau juga mampu mengubah lanskap politik di Bahagian Marang dengan suntikan semangat baru yang lebih segar untuk merampas kembali DUN Rhu Rendang, DUN Bukit Payong, DUN Alor Limbat serta Parlimen Marang, di samping mengekalkan kemenangan di DUN Pengkalan Berangan.

Justeru itu, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat ini bertekad menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin dalam memperjuangkan inspirasi dan keluhan masyarakat di peringkat akar umbi.

 “Saya akan memastikan keperluan masyarakat di setiap cawangan diberikan perhatian dan pembangunan pula akan dijalankan secara lebih menyeluruh di seluruh parlimen Marang,” katanya ketika ditemui Teganukita.

Beliau memberi jaminan untuk menjalankan pelbagai usaha untuk memastikan Marang akan menjadi sebuah daerah yang beridentiti dan bertransformasi dalam sektor pelancongan, pertanian, perikanan, perindustrian, perniagaan termasuk sektor pendidikan dan latihan kemahiran.

 “ Sebagai wakil rakyat tunggal daripada Barisan Nasional di Marang, saya bertanggungjawab membantu kerajaan dalam membawa perubahan khususnya perubahan ekonomi dalam kalangan masyarakat masih banyak yang perlu dilakukan”, katanya .