Halaman

03 October 2013

YPKT sedia RM100,000 rai 50 ibu bapa tunggal berkahwin

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada 50 ibu dan bapa tunggal yang melangsungkan perkahwinan di dewan bangunan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Marang, baru-baru ini.

Pengarahnya, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa berkata setiap ibu atau bapa tunggal menerima RM2,000.

 "Daripada 29 pasangan yang berkahwin di daerah Marang ini, 21 adalah pasangan ibu tunggal dengan bapa tunggal, lima pasangan ibu tunggal dengan teruna dan tiga pasangan bapa tunggal dengan anak dara.


"Insentif ini diharap dapat meringankan beban kewangan golongan itu untuk meneruskan kehidupan baharu bersama pasangan masing-masing, seterusnya memastikan institusi keluarga di negeri ini terus kukuh untuk pembinaan generasi cemerlang pada masa depan," katanya.

 Majlis perkahwinan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri Terengganu YB A Latiff Awang.

YPKT membelanjakan kira-kira RM380,000 sebagai insentif kepada 191 pasangan ibu dan bapa tunggal bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Kemaman mencatat jumlah perkahwinan tertinggi iaitu 47 pasangan, Marang (29), Hulu Terengganu dan Dungun (masing-masing 25), Kuala Terengganu (23), Besut (18) manakala Setiu serta Kuala Nerus (12).

Encik Mohd Safarudin berkata kerajaan negeri melalui YPKT memperuntuk kira-kira RM600,000 bagi membiayai 300 ibu dan bapa tunggal yang dijangka berkahwin tahun ini.

"Sehingga kini, sebanyak 262 ibu dan bapa tunggal layak menerima insentif itu daripada 287 permohonan yang diterima pada tahun ini.

 "Mereka yang ingin berkahwin boleh mengisi borang yang disediakan, dan mestilah rakyat negeri ini sahaja," katanya.


No comments: