Halaman

12 November 2013

82 kakitangan YPKT terima APC

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 82 pegawai dan kakitangan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka menunjukkan prestasi kerja mengagumkan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, semua penerima anugerah APC dinilai berdasarkan kumpulan perkhidmatan dan gred jawatan, prestasi markah serta sumbangan cemerlang yang diberikan kepada jabatan.
“Tahniah kepada semua penerima anugerah dan saya berharap APC ini menjadi penyubur semangat dan pendorong untuk semua warga YPKT berkhidmat dengan lebih baik dan bersaing secara sihat kearah peningkatan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam.

“Bagi mereka yang tidak terpilih jangan sesekali kecewa sebaliknya terus meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja untuk memantapkan lagi organisasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 dan 2012 Peringkat Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Katanya, semua warga YPKT diharap berusaha dengan lebih gigih dan memberikan sumbangan yang maksimum dalam meningkatkan nama baik jabatan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Pada majlis tersebut, setiap penerima APC menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan wang tunai sebanyak RM1000. Difahamkan, 39 daripadanya merupakan penerima APC bagi tahun 2011 manakala 43 orang pula penerima bagi tahun 2012.