Halaman

10 November 2013

Anugerah ExxonMobil suntik semangat

Oleh: Mohd Syazni Zainudin dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar
 
Seorang penerima Anugerah Pelajar Cemelang ExxonMobil 2013, Anis Syahirah Mohd Shafie, 16 amat teruja dan gembira apabila namanya turut tersenarai sebagai penerima bantuan pendidikan pada kali ini.

“Walaupun sibuk dengan aktiviti lain seperti mewakili Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) dan juga merupakan ketua pengawas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mizan Zainal Abidin, saya mampu memperolehi semua A dalam PMR.

“Anugerah yang diberikan oleh ExxonMobil ini akan membuatkan saya lebih bersemangat untuk berjaya dalam pelajaran sekaligus membuktikan kemiskinan tidak akan menghalang saya menggapai kejayaan”, katanya selepas menerima anugerah itu, di Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar ExxonMobil 2013 dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu yang di Taman Tamadun Islam (TTI) hari ini.

Anugerah disampaikan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin dan Pengarah Urusan Perniagaan, Subsidiari ExxonMobil di Malaysia merangkap Pengerusi, Tabung Amanah Pelajaran dan Biasiswa ExxonMobil, Puan Fatimah Merican.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Mohd Nor Fikri Sazalee, 15, yang baru sahaja selesai menduduki Peperiksaan PMR juga bersyukur dengan anugerah dan sumbangan ExxonMobil kepada pelajar yang lahir dari keluarga miskin sepertinya.

“Saya berharap anugerah ini memberi suntikan semangat kepada saya mencipta lebih banyak kejayaan dalam pelajaran termasuk memperolehi keputusan cemerlang dalam PMR sekali gus menggembirakan kedua ibu bapa.

“Alhamdulillah, berkat dorongan ibu bapa, guru dan sahabat merupakan faktor untuk saya terus mencipta kecemerlangan,” kata anak ketiga dari lapan orang adik beradik itu.

Seramai 264 pelajar cemerlang di kalangan keluarga berpendapatan rendah di seluruh Terengganu menerima bantuan pelajaran berjumlah RM184,800 menerusi pembiayaan Tabung Amanah Pelajaran dan Biasiswa ExxonMobil (EMESF) 2013.

Daripada jumlah itu, 120 pelajar Tahun Empat hingga Enam menerima RM600 seorang, diikuti 72 pelajar Tingkatn Satu hingga Tiga (RM700), manakala pelajar Tingkatan Empat dan Lima (RM800) dan 24 pelajar Tingkatan Enam (RM1,000).