Halaman

20 November 2013

Enam pelumba tersenarai ke GP Indonesia

Terengganu membariskan enam pelumba berbakat bagi menghadapi kejohanan lumba basikal siri akhir GP Indonesia yang akan berlangsung di Jawa Tengah pada 11 hingga 16 Disember ini.

Jurulatih berbasikal Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata Terengganu kini menduduki tangga pertama dengan mengumpul 80 mata.

"Kita sedang fokus untuk menghadapi saingan akhir GP Indonesia dan sasaran kita untuk muncul sebagai juara dalam kejohanan itu," katanya.

 Menurut Syed Mohd Hussaini, pelumba yang dipilih untuk membawa cabaran Terengganu di kejohanan itu merupakan atlet Sukma yang berpotensi.

Mereka terdiri daripada Mohd Badrul Hakimi Hamid, Mohd Azri Ahmad, Cheku Samir Cheku Ramli, Mohd Zulkifli Hamdan, Nor Aiman Zarif dan Mohd Hariq Huzni Othman.

Beliau berkata pelumba Terengganu akan menyertai dua lagi kejohanan di peringkat kebangsaan iaitu Kejohanan Trek Remaja di Cheras pada 28 Nov hingga 1 Dis dan SportExcel Remaja di Rompin, Pahang mulai 6 hingga 8 Disember.