Halaman

10 November 2013

ExxonMobil sedia RM184,800 untuk pelajar miskin cemerlang

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 264 pelajar cemerlang di kalangan keluarga berpendapatan rendah di seluruh Terengganu menerima bantuan pelajaran berjumlah RM184,800 menerusi pembiayaan Tabung Amanah Pelajaran dan Biasiswa ExxonMobil (EMESF) 2013.

Daripada jumlah itu, 120 pelajar Tahun Empat hingga Enam menerima RM600 seorang, diikuti 72 pelajar Tingkatn Satu hingga Tiga (RM700), manakala pelajar Tingkatan Empat dan Lima (RM800) dan 24 pelajar Tingkatan Enam (RM1,000).

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong, berkata kerajaan negeri amat menyanjung tinggi tanggungjawab korporat dan sosial syarikat berkenaan yang menghargai kecemerlangan akademik dan kokurikulum dan kepimpinan pelajar sekolah rendah, menengah dan juga pra universiti di seluruh Terengganu.

“Program tahunan sejak 1981 lagi yang disediakan khusus bagi mengiktraf pelajar miskin tapi berdaya saing dalam pelajaran mereka.

“Usaha ini amat murni dan wajar diteruskan memandangkan ExxonMobil memilih pelajar cemerlang di kalangan keluarga yang tidak berkemampuan, sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan sekolah dengan nilai anugerah yang agak tinggi antara RM600 hingga RM1,000 seorang ini,” katanya kepada media selepas menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang ExxonMobil 2013, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin; pengarah Urusan Perniagaan, Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia merangkap Pengerusi EMESF, Puan Fatimah Merican.

Haji Mohd Zubir berkata, rata-rata ibu-bapa pelajar yang terdiri dari kalangan berpendapatan rendah antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan yang menerima anugerah itu amat bersyukur dengan keprihatinan ExxonMobil kerana mengiktiraf kecemerlangan anak mereka sekali gus meringankan bebanan bagi menyediakan keperluan dan perbelanjaan sekolah pelajar berkenaan.

"Pada awalnya bermula 1981 hingga 2006, anugerah ini dilaksanakan di Kemaman sahaja, bagaimanapun atas persetujuan dan melihat potensi seluruh anak Terengganu yang perlu diiktiraf, maka program ini diperluaskan ke seluruh Terengganu pada 2007.

“Jadi, kerajaan negeri amat berbesar hati kerana mempunyai rakan perkongsian bestari seperti ExxonMobil yang melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial dan korporat yang amat baik sekali di negeri ini,” katanya.