Halaman

11 November 2013

Guru lama khidmat ditimbang jawatan tetap

Oleh: Noraini Jusoh

Guru Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang berkhidmat lebih 10 tahun dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan menunjukkan prestasi cemerlang akan diberi pertimbangan untuk diserap ke jawatan tetap tanpa pencen.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah (gambar) berkata, kerajaan negeri mengenal pasti seramai 368 orang daripada sejumlah 600 guru Taska YPKT di seluruh negeri layak dipertimbangkan untuk jawatan itu.

"Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menaikkan bayaran gaji guru Taska YPKT yang berkhidmat secara ‘adhoc’ di bawah dua skim iaitu pendidik dan pembantu pendidik.

"Bagi yang berkelulusan Ijazah dan Diploma akan menerima kenaikan gaji daripada RM1000 kepada RM1400 melibatkan 93 orang dan bagi kelulusan STPM dan SPM akan dinaikkan kepada RM1100 daripada RM800 dan melibatkan 49 orang.

"Malah, pembantu sajian (tukang masak) yang bertugas di YPKT turut dipertimbangkan untuk mendapat kenaikan gaji daripada RM600 kepada RM900 dan melibatkan seramai 43 orang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 dan 2012 Peringkat Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Menurut Dato’ Haji Mazlan, perkara ini telah dibincangkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kebajikan dan Kenaikkan Pangkat, pagi tadi.

"Ia akan dipanjangkan kepada Lembaga Pemegang Amanah YPKT yang dipengerusikan YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti.

"Jika diluluskan, perjawatan dan kenaikan gaji baru ini akan dikuatkuasakan mulai Januari depan dan melibatkan penambahan peruntukan sebanyak RM220,800 oleh kerajaan negeri,” ujarnya.