Halaman

01 November 2013

JKM sedia RM530 ribu sebagai persiapan banjir

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan kira-kira RM530 ribu sebagai persediaan menghadapi ancaman banjir tahun ini. Pengarah JKM, Encik Zuhami Omar berkata, peruntukan tersebut bertujuan untuk membeli barangan keperluan harian untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir nanti.

 “JKM akan menyediakan keperluan asas seperti beras, gula selain menyediakan selimut, tikar dan tuala untuk mangsa-mangsa banjir,” ujarnya .

Katanya, bagi peringkat pertama JKM menyediakan 3,000 kampit beras 10 kilogram; 10, 000 tin sardine; 45,100 kg gula; 3,060 minyak mask; 5,260 tin susu; 5,000 paket susu.

 “Selain itu, JKM turut menyediakan 18,000 bidang tikar; 6,300 kain sarung; 7,500 tuala dan 10,000 selimut. “Barang-barang tersebut akan dihantar ke 110 pusat pangkalan hadapan di seluruh daerah di Terengganu, terutamanya kawasan-kawasan yang biasa dilanda banjir.

 "Jika dahulu Kuala Berang antara tempat yang selalu dilanda banjir tetapi kini keadaan sudah berubah dan fenomena banjir sukar diramal akan melanda kawasan mana, justeru pihak kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga," ujarnya.

 Beliau berkata, tahun ini 353 buah pusat pemindahan terdiri daripada sekolah, balai raya, masjid dan surau yang dapat menampung hampir 49,000 mangsa banjir disediakan di seluruh negeri ini.

 “JKM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian banjir di kawasan mereka agar pihak berwajib dapat menghulurkan bantuan dengan kadar segera,” katanya.