Halaman

02 November 2013

Khouluddin rapat dengan penduduk.

Khouluddin..Pengerusi JKKK Calok Kedai.
Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

HUBUNGAN eratnya dengan penduduk kampung dan sikapnya yang suka membantu menjadikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Chalok Kedai, Setiu, Wan Mohd Khouluddin Ab. Rahman begitu disenangi penduduk setempat.

Khouluddin yang memegang jawatan Pengerusi JKKK sejak lima tahun lalu itu, berkata, sebagai orang yang diamanahkan untuk mentadbir kampungnya, beliau perlu berlaku adil kepada semua penduduk dalam usahanya membantu mereka.

“Saya memegang jawatan ini kerana saya begitu berminat untuk membantu penduduk. Melalui jawatan inilah saya berpeluang membantu seluruh masyarakat di kawasan saya yang memerlukan bantuan dan semua penduduk berhak mendapat apa jua bentuk bantuan sekiranya mereka layak,” katanya.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Chalok Kedai selama dua penggal itu, mula menjadi ahli UMNO sejak berusia 21 tahun dan aktif dalam UMNO di kampungnya selepas menduduki jawatan AJK Pemuda.

“Tujuan saya aktif dalam UMNO dan Barisan Nasional ini, adalah kerana saya yakin bahawa parti inilah mampu memajukan dan memakmurkan kira-kira seramai 800 penduduk kawasan ini,” kata bapa kepada lima anak itu.

Khouluddin bersama Dato'Sabri dan Dato' Mohd Jidin.
Sepanjang memegang jawatan Pengerusi JKKK, Khouluddin, berjaya membantu penduduk kampungnya untuk mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan, antaranya ialah rumah PPRT, bantuan membaiki rumah, dan jalan raya.

“Setakat ini, sebanyak tujuh buah rumah PPRT berjaya dibina dan lebih 20 buah rumah dibaiki untuk penduduk yang layak. Beberapa jalan untuk keselesaan penduduk juga sudah dibina di kampung ini termasuklah jalan Batu Hampar ke Felda Calok Barat sejauh lima kilometer,” katanya.

Menurutnya, beliau kini sedang berusaha untuk mempercepatkan pembinaan sebuah sekolah rendah baru di kampungnya kerana sekolah yang asal agak jauh dari penempatan penduduk.

"Kerajaan sudah meluluskan pembinaan sekolah itu tetapi atas beberapa sebab, pembinaannya belum bermula dan jika semuanya selesai, Insya Allah, penduduk kampung ini akan mendapat sebuah sekolah rendah yang baru," katanya.