Halaman

20 November 2013

MYA cungkil bakat baru sukan pelayaran

Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan pelayaran negara menerusi program Belia Belayar.

Golongan muda terutama pelajar sekolah mengasah bakat dalam sukan pelayaran.
Program empat hari sempena penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2013, diadakan di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, bermula semalam (Selasa).

Pelajar diberi peluang mencuba mengedalikan Kapal Layar Piala Monsun yang diadakan di Pulau Duyung, semalam.
Program yang memberi pendedahan tentang aspek-aspek asas pelayaran kepada golongan muda terutama pelajar sekolah berusia dalam lingkungan 13 hingga 16 tahun itu melibatkan 13 sekolah di sekitar daerah ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MYA Encik Mazlan Othman berkata program itu berpotensi untuk mengenal pasti pelapis dalam sukan kapal layar terutama di kalangan golongan muda apabila mereka diberi peluang untuk mencuba sukan itu.

"Penganjuran program seperti ini memudahkan persatuan mencari bakat-bakat baharu yang berminat dalam sukan kapal layar selain memberi ruang kepada golongan itu mengasah kemahiran mereka," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pada program itu seramai 832 pelajar diberi peluang mengemudi kapal layar bersama juragan yang menyertai Liga Layar Malaysia (LLM).

Tengku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim menyempurnakan pelepasan program itu.

Turut hadir Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013 Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Sementara itu Tunku Abdul Jalil selaku Pengerusi Innovatige Sdn Bhd yang merupakan penganjur Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2013 berkata program seperti itu akan diteruskan pada masa depan bagi memberi peluang kepada golongan muda mencuba sukan berkenaan.

"Kami bermula dengan program kecil dan jumlah yang sedikit seperti ini namun kami berharap program ini menjadi permulaan untuk golongan muda bergiat serius dalam sukan pelayaran ini nanti," katanya.