Halaman

10 November 2013

Penubuhan ECER mampu tarik pelaburan RM20.4 bilion

Oleh: Suriati Ali 

Terengganu melalui Wilayah Ekonomi Pantai Timur Pantai Timur (ECERDC) kini mengalami transformasi yang amat membanggakan di mana berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM20.4 bilion dalam tempoh lima tahun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata pelaburan ini sekaligus memberi 10,850 peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu serta memberi manfaat kepada 800 usahawan baru.

 Katanya, dalam hal itu, Projek Taman Biopolimer Kertih yang terletak di Zon Ekonomi Khas ECER berjaya melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab bagi sektor bioteknologi di rantau ini dengan kehadiran penggerak indutri bioteknologi bertaraf dunia.

 “Hal ini sememangnya merupakan satu perkembangan positif bersifat saling melengkapi dengan aktiviti-aktiviti di Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih yang juga terletak dalam Zon Ekonomi Khas ECER.


 “Satu lagi projek yang diterajui ECERDC berkaitan Pembangunan Taman Perindustrian Berat (TPB) Telok Kalong, Kemaman di mana berjaya menarik pelaburan Eastern Steel iaitu syarikat usahasama Hiap Teck Venture Berhad serta Shougang Corporation, yang juga salah sebuah syarikat bersepadu terbesar di China”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Hari Terbuka ECEDC Bersama Rakyat di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

 Turut hadir Timbalan Setiusaha Kerajaan, Dato’ Haji Mat Razali Kasim ;Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John dan Pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, TPB akan memfokuskan sektor fabrikasi besi dan keluli, manakala pusat membina dan membaiki bot akan diwujudkan di Pulau Kucing, Kemaman di mana sektor-sektor ini bakal menyokong industri minyak dan gas negara.

 “Kemasukan pelaburan ke negeri ini akan menjana lebih banyak peluang perniagaan dan keusahawanan sampingan untukusahawan tempatan, dalam bidang seperti pembinaan hartanah, logistik, latihan dan pelbagai perkhidmatan professional yang lain.

“Pihak kami juga bersedia untuk menyokong , untuk menyokong industri ternakan negara melaui Pusat Penyelidikan dan Inovasi Ternakan Kambing, di Kuala Berang yang dijadualkan mula beroperasi, pada awal 2014 ,” katanya.

 Menurutnya, projek itu akan membuka peluang kepada petani generasi baru melalui penggunaan teknologi terkini untuk menikmati hasil yang lebih tinggi.

“Taman Bio Herba Pasir Raja antara projek pertanian terpenting di Terengganu khusus untuk penanaman 10 jenis herba bernilai tinggi antaranya mengkudu, hempudu bumi, tongkat ali dan kacip Fatimah.

 “ Usaha ini adalah untuk menyokong industri hiliran yang melibatkan makanan dan minuman halal serta produk farmasiutikal dan nutrasiukal.,” katanya.