Halaman

11 November 2013

Pulau peranginan ditutup mulai November




Kesemua aktiviti pelancongan di pulau peranginan di Terengganu dihentikan awal bulan lepas berikutan musim tengkujuh yang mula melanda negeri ini ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee berkata lazimnya operasi di pulau ditutup selama empat bulan mulai pertengahan Oktober.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan perjumpaan bersama pengusaha chalet, resort dan pengusaha bot khasnya di Pulau Redang dan Pulau Perhentian bagi memaklumkan dan membincangkan perkara berkenaan.

"Kebanyakan pengusaha telah mula membuat persediaan kerana setiap tahun musim tengkujuh akan bermula pada akhir Oktober hingga awal Januari atau Februari depan.

"Namun sebahagian telah mula menutup operasi dan hanya menerima tempahan tertentu atau dalam kuantiti yang sedikit sahaja," katanya.

Dato' Mohd Jidin berkata segala aktiviti pelancongan akan ditangguhkan dan dalam tempoh itu pengusaha chalet dan resort melakukan kerja pengubahsuaian tempat penginapan.



Beliau berkata pelancong juga sedia maklum keadaan cuaca pada musim tengkujuh di negeri ini namun dijangkakan kehadiran pelancong tetap bertambah kerana mereka juga mempunyai alternatif lain untuk melawat negeri ini.

 "Di Terengganu, pelancong boleh memilih untuk ke tempat menarik lain seperti Tasik Kenyir yang dibuka setiap masa kepada pelancong untuk bertandang ke Terengganu," katanya.

Sebelum ini kerajaan negeri menyasarkan pengunjung ke Tasik Kenyir meningkat 20 peratus kepada 450,000 orang sepanjang 2013 berbanding 397,005 pada tahun lalu.

Malah mengikut statistik, kehadiran pelancong ke negeri ini semakin bertambah dari setahun ke setahun, iaitu pada 2011, jumlah pelancong yang mengunjungi Terengganu ialah 3.17 juta berbanding hanya 2.82 juta pada 2010.

 Pada 2012, jumlah itu meningkat kepada 3.38 juta dan sehingga Jun 2013, kehadiran pelancong yang direkodkan adalah 1.862 juta pelancong.